Tiga media kini sedia jadi platform debat, tapi Onn Hafiz masih enggan sahut cabaran

Tekanan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menerima cabaran berdebat dengan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, dilihat semakin memuncak.

Ia apabila tiga organisasi media kini menyatakan kesediaan untuk menganjurkan sesi berkenaan.

Selepas Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Awani menyatakan kesediaan menyediakan platform siaran langsung bagi dialog atau debat antara kedua-dua pemimpin itu, Sinar Harian hari ini turut menawarkan kerjasama dengan mana-mana organisasi media bagi merealisasikan sesi tersebut.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, media tidak seharusnya sekadar menjadi penyampai maklumat, malah perlu menyediakan ruang kepada pemimpin politik menjelaskan idea, dasar serta penyelesaian mereka secara terbuka kepada rakyat.

Menurut beliau, sekiranya semua pihak bersetuju, Sinar Harian bersedia bekerjasama dengan RTM, Astro Awani serta mana-mana platform media lain bagi menjayakan debat atau dialog terbuka membabitkan calon-calon utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkembangan itu sekali gus meletakkan tumpuan kembali kepada Onn Hafiz sama ada beliau akan menyahut cabaran Maszlee, memandangkan sebelum ini beliau dilaporkan menolak cadangan untuk berdebat.