Benteng Terkuat Negara Bukan Senjata, Tetapi Perpaduan Rakyat – Adly

FOTO BERITA: Ceramah Jelajah ‘Johor Ke Depan, Undi Harapan’ bersama YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, YB Adly Zahari,, YB Datuk Saifuddin Nasution Ismail, YB Aminolhuda Hassan di Parkir bersebelahan Wisma SBBU, Johor Bahru. Johor. 4hb Julai 2026 (Sabtu).

Naib Presiden Parti Amanah Negara merangkap Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, menyeru rakyat Johor supaya memilih politik perpaduan dan kestabilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sambil menegaskan kedua-dua elemen itu menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat. Adly berkata Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan lebih sedekad lalu dibina atas semangat muafakat dan perpaduan, berbeza dengan pihak yang menurutnya menggunakan sentimen perkauman serta politik ketakutan untuk meraih sokongan.

“Kita tidak mahu mendapatkan undi dengan menakut-nakutkan rakyat. Kita mahu memperoleh sokongan dengan mengangkat maruah rakyat serta membina masyarakat Malaysia yang bersatu padu,” katanya. Beliau berkata antara cabaran terbesar yang diwarisi kerajaan MADANI ialah memulihkan imej Malaysia yang sebelum ini dikaitkan dengan rasuah serta ketidakstabilan politik.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia kini kembali dihormati di peringkat antarabangsa, termasuk apabila menjadi Pengerusi ASEAN dan berjaya menarik kehadiran pemimpin-pemimpin dunia ke negara ini. “Apabila politik stabil, keyakinan pelabur meningkat. Kestabilan ini memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan negeri-negeri termasuk Johor,” katanya.

Adly berkata Johor antara negeri yang menerima manfaat daripada peningkatan pelaburan hasil kestabilan politik dan model perpaduan yang dibawa kerajaan hari ini. Beliau turut menegaskan bahawa keamanan merupakan nikmat paling besar yang perlu dipertahankan kerana ia menjadi asas kepada kemajuan sesebuah negeri dan negara.

“Walaupun kita mempunyai aset dan anggota pertahanan yang kuat, benteng paling kukuh sesebuah negara ialah perpaduan rakyatnya. Sebab itu keamanan dan perpaduan mesti terus dipelihara,” katanya. Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi Johor membuat keputusan terbaik pada 11 Julai ini dengan memberikan mandat kepada kepimpinan yang mampu menjamin kestabilan politik, memperkukuh ekonomi serta meneruskan agenda pembangunan negeri demi masa depan rakyat.

Sementara itu Ustaz Ridzwan menyeru rakyat Johor supaya menolak politik perkauman dan memilih politik berteraskan perpaduan, kestabilan serta dasar yang mampu membawa negeri itu ke arah masa depan lebih baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.

Ridhwan berkata rakyat perlu membezakan antara perkara yang merupakan ketentuan Tuhan seperti kaum dan bangsa dengan perkara yang boleh diubah melalui usaha serta dasar pentadbiran yang baik. Menurutnya, persaingan politik sewajarnya tertumpu kepada ikhtiar membangunkan negara menerusi polisi pendidikan, ekonomi dan pentadbiran, bukannya membangkitkan sentimen perkauman.

“Agama Islam tidak pernah mengajar kita mengangkat sesuatu kaum sehingga merendahkan kaum lain. Bumi ini dicipta untuk kita semua, Melayu, Cina dan India. Yang perlu kita perjuangkan ialah dasar yang mampu memberi kehidupan lebih baik kepada seluruh rakyat,” katanya.

Beliau berkata Malaysia yang telah merdeka selama hampir tujuh dekad seharusnya bergerak melangkaui politik berasaskan kaum dan memberi tumpuan kepada pembangunan, kebebasan serta pembinaan sebuah negara yang inklusif. Katanya, rakyat Johor mempunyai peluang menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dengan memilih kepimpinan yang menawarkan perpaduan, keamanan dan jaminan masa depan lebih baik.