Hampir 200,000 pemilik pikap, jip terima tambahan 100 liter BUDI Diesel
Hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip telah diluluskan tambahan kuota 100 liter sebulan di bawah program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), menjadikan had kelayakan mereka meningkat kepada 300 liter sebulan mulai Julai ini.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, sehingga 4 Julai lalu, seramai lebih 174,000 pemilik di Semenanjung serta lebih 22,000 pemilik di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menikmati kemudahan tersebut.
Menurut kementerian, penambahan kuota itu mengambil kira penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik pikap dan jip, termasuk bagi kegunaan perniagaan kecil dan sederhana serta perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memahami bahawa kenderaan diesel bukan sekadar digunakan untuk perjalanan harian, malah menjadi sumber pendapatan dan keperluan keluarga bagi ramai pemilik.
“Kerajaan berharap kemudahan tambahan 100 liter ini dapat membantu mereka mengurus keperluan diesel bulanan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan turut mengambil kira maklum balas rakyat berhubung penggunaan kenderaan diesel oleh ahli keluarga terdekat atau kenderaan yang belum dikemas kini rekod pemilikannya.
Sehubungan itu, penerima asal BUDI Diesel kini boleh memohon pemindahan kelayakan melalui portal rasmi BUDI MADANI sekiranya kenderaan digunakan oleh ahli keluarga terdekat, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan.
Sebagai pilihan lain, pengguna sebenar juga boleh mengemas kini pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan kerajaan memberikan pengecualian fi pertukaran hak milik bagi kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai lalu.
Menurut Amir Hamzah, penambahbaikan itu membuktikan pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau dan disesuaikan berdasarkan maklum balas rakyat supaya manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak tanpa membuka ruang kepada ketirisan serta penyeludupan.
Setakat 4 Julai, lebih 2,000 permohonan pemindahan kelayakan telah diterima melalui portal BUDI MADANI.
Dalam perkembangan sama, MOF memaklumkan pelaksanaan subsidi bersasar itu menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan bagi memastikan hanya warganegara yang layak menikmati diesel bersubsidi, manakala bukan warganegara perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.
Sejak akses awal BUDI Diesel bermula pada 27 Jun sehingga 4 Julai, lebih 336,000 transaksi pembelian diesel bersubsidi direkodkan melibatkan 12.6 juta liter diesel.
Kerajaan turut menanggung lebih RM23 juta subsidi sepanjang tempoh tersebut, dengan diesel dijual pada harga RM2.15 seliter ketika akses awal sebelum diturunkan kepada RM2.10 seliter apabila pelaksanaan penuh BUDI Diesel bermula 1 Julai.
Amir Hamzah berkata, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin kepada rakyat yang layak, di samping mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel serta meneliti maklum balas daripada rakyat dan industri bagi memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
BACA JUGA Permit bukan lagi milik ‘tauke’, kerajaan mulakan reformasi terbesar industri teksi