“Jangan pilih kaki fitnah” – Anwar seru Johor pilih pemimpin berprinsip
Rakyat Johor diseru supaya memilih kepimpinan negeri yang berani, berprinsip dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, selain menolak budaya fitnah, adu domba serta politik kebencian yang hanya memecah-belahkan masyarakat.
“Johor akan terus maju sekiranya kita memilih untuk memperkukuh perpaduan, menyuburkan budaya dialog yang matang serta menghormati perbezaan pandangan dengan penuh hikmah.”
Pesanan itu disampaikan ketika berucap dalam program bersama penduduk di Taman Melor, Johor Bahru.
Menurutnya, wakil rakyat tidak seharusnya hanya muncul ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu sentiasa bersama rakyat, berani bersuara, tegas mempertahankan hak rakyat serta lantang menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat.
“Wakil rakyat juga bukan sekadar timbul ketika musim pilihan raya, tetapi mesti berani bersuara, tegas mempertahankan hak rakyat serta lantang menyelesaikan isu-isu yang membelenggu kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata, Johor memerlukan barisan kepimpinan yang bukan sahaja mampu membawa suara rakyat, malah mempunyai keupayaan serta iltizam untuk memastikan setiap perjuangan demi rakyat benar-benar terlaksana.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya membudayakan pemikiran yang berteraskan fakta, ilmu dan pertimbangan yang waras, bukannya membiarkan ruang awam dipenuhi adu domba, fitnah dan tohmahan.
“Saya menyeru Bangsa Johor untuk memilih kepimpinan negeri yang berani, berprinsip dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya,”tegasnya.
Beliau menegaskan budaya fitnah dan penyebaran maklumat tidak berasaskan fakta hanya akan merencatkan usaha membangunkan negeri serta melemahkan perpaduan rakyat.
“Sewaktu singgah di Taman Melor, Johor Bahru, saya berkongsi kepentingan membudayakan pemikiran yang berteraskan fakta, ilmu dan pertimbangan yang waras, bukannya membiarkan adu domba, fitnah serta tohmahan menguasai ruang awam,” tegasnya.
Menurutnya, perpaduan, budaya dialog yang matang dan sikap saling menghormati perbezaan pandangan merupakan asas penting untuk memastikan Johor terus berkembang sebagai sebuah negeri yang maju dan stabil.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa semangat kebersamaan serta kepercayaan antara rakyat akan menjadi kekuatan utama dalam membina negara yang lebih bersatu, makmur dan disegani.
“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan dan kepercayaan antara rakyat, kita mampu membina sebuah negara yang lebih bersatu, makmur dan disegani,”katanya.
BACA JUGA Rakyat Johor berang bila PRN digunakan untuk bebas Najib