KPT sangkal dakwaan Adun Jitra, tegas hak pelajar tempatan terpelihara

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan dakwaan kononnya kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam (UA) mengurangkan peluang pelajar tempatan adalah tidak berasas, mengelirukan dan tidak menggambarkan keadaan sebenar sistem pendidikan tinggi negara.

Kenyataan itu dibuat sebagai menjawab dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah, yang mendakwa pelajar antarabangsa telah mengambil tempat pelajar Malaysia di universiti awam.

Menurut KPT, kenyataan sedemikian bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah boleh menjejaskan reputasi institusi pengajian tinggi (IPT) negara di peringkat antarabangsa.

Kementerian menjelaskan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi telah dilaksanakan secara konsisten sejak lebih dua dekad lalu, selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007 bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Sehingga 31 Disember 2025, jumlah keseluruhan enrolmen di IPT awam dan swasta ialah 1,264,541 pelajar, dengan pelajar antarabangsa seramai 159,138 orang atau hanya 12.6 peratus daripada keseluruhan enrolmen.

Bagi universiti awam pula, daripada 634,706 pelajar, hanya 56,565 orang atau 8.9 peratus merupakan pelajar antarabangsa.

KPT turut menjelaskan bahawa majoriti pelajar asing berada di peringkat pascasiswazah dan bukannya bersaing dengan lepasan SPM, STPM, matrikulasi atau diploma untuk memasuki program prasiswazah.

Daripada 520,105 pelajar prasiswazah di universiti awam, 502,212 orang atau 96.56 peratus ialah pelajar Malaysia, manakala hanya 17,893 orang atau 3.44 peratus merupakan pelajar antarabangsa.

Sebaliknya, bagi program pascasiswazah, pelajar antarabangsa membentuk 33.74 peratus daripada jumlah enrolmen, selaras dengan matlamat universiti memperkukuh penyelidikan dan jaringan akademik antarabangsa.

Mengulas dakwaan mengenai lima Universiti Penyelidikan (RU) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), KPT berkata daripada 186,824 pelajar, seramai 145,727 orang atau 78 peratus ialah pelajar tempatan.

Daripada 41,097 pelajar antarabangsa di lima universiti itu, 68.5 peratus mengikuti pengajian pascasiswazah, manakala kemasukan pelajar antarabangsa prasiswazah dibuat melalui saluran ‘over and above’, iaitu selepas kuota utama UPUOnline dipenuhi.

Kementerian turut menegaskan pelajar antarabangsa membayar yuran penuh tanpa menerima subsidi kerajaan, selain membantu mengukuhkan kedudukan kewangan universiti, memperluaskan kerjasama penyelidikan, meningkatkan penerbitan berimpak tinggi dan memperbaiki kedudukan universiti Malaysia dalam penarafan dunia.

Selain itu, kehadiran mereka mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta memberi pendedahan antarabangsa kepada mahasiswa tempatan melalui interaksi silang budaya.

KPT berkata Malaysia kini menjadi destinasi pilihan pelajar dari lebih 180 negara, termasuk China yang menyumbang 32,549 pelajar di universiti awam, sekali gus membuktikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti sistem pendidikan tinggi negara.

“Kepentingan, kebajikan dan akses pendidikan pelajar tempatan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.

“Malaysia akan terus melaksanakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi secara strategik dan bertanggungjawab tanpa sesekali mengorbankan hak, peluang serta masa depan pelajar Malaysia,” kata kementerian dalam kenyataan itu.

BACA JUGA ‘Uncle MCA’ bengang? Ajak pengundi pilih PH