PRN Johor bukan tiket bebas banduan, PMX tempelak kempen ‘undi untuk selamatkan individu’

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak sepatutnya dijadikan medan untuk meraih sokongan atas janji membebaskan individu yang sedang menjalani hukuman penjara, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, mandat rakyat perlu diperoleh atas dasar menawarkan dasar yang baik dan membela kepentingan rakyat, bukannya dengan memainkan sentimen bagi menyelamatkan mana-mana individu yang berdepan tindakan undang-undang.

“Anak Cina curi di kedai. Anak Melayu curi motor. Polis tangkap dan masukkan dalam penjara.

“Orang besar, Tan Sri, Datuk, Tun curi bilion-bilion, senang-senang mahu lepaskan. Ini negeri apa ini?

“Ini sebab rakyat mesti bangkit. Apa pemimpin macam ini? ‘Mari sokong saya. Sokong parti saya. Kalau saya menang, parti saya menang, saya bebaskan orang dari penjara’,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Komuniti Cina di Johor Bahru, malam tadi.

Menurut Anwar, prinsip kedaulatan undang-undang mesti dihormati oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan, pangkat atau hubungan politik.

Beliau menegaskan seseorang yang didapati melakukan kesalahan perlu melalui proses perundangan sebagaimana rakyat biasa dan tidak boleh dijadikan agenda politik dalam pilihan raya.

“Jangan jadi pilihan raya ini macam lain-lain. Kita mesti menang sebab hendak tolong saudara kita. Dia curi pun tak apa, dia saudara kita. Tak boleh,” katanya.

Anwar turut mengakui pendirian tegasnya terhadap isu integriti menyebabkan ada pihak yang tidak senang, khususnya mereka yang sebelum ini terbiasa dengan budaya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Menurutnya, kerajaan MADANI komited mempertahankan prinsip keadilan serta memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil tanpa memilih bulu.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada gesaan sebahagian pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengaitkan kemenangan besar gabungan itu pada PRN Johor dengan peluang mendapatkan pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada 2 Julai lalu, Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Nazifuddin Najib, dilaporkan berkata kemenangan besar BN pada PRN Johor akan menjadi isyarat sokongan rakyat terhadap Najib, sekali gus mampu mencerahkan peluang beliau memperoleh pengampunan diraja.

Anwar bagaimanapun menegaskan bahawa pilihan raya harus menjadi medan untuk rakyat memilih kerajaan yang mampu membawa pembangunan, menjaga kebajikan dan mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang, bukannya dijadikan saluran untuk memperjuangkan kepentingan individu.

BACA JUGA Koperasi kini ‘gergasi’ ekonomi? Perolehan cecah RM82 bilion