SPR kehabisan borang? PKR mohon tangguh tarikh akhir daftar ejen
PKR memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor menangguhkan tarikh akhir pendaftaran Ejen Tempat Mengundi (ETM) dan Ejen Mengira Undi (EMU) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 susulan dakwaan kekurangan Borang A (Borang Sumpah Kerahsiaan).
Menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) PKR, beberapa calon parti itu gagal melengkapkan Borang A di bawah Subseksyen 5(1) kerana borang berkenaan dilaporkan tidak mencukupi untuk diedarkan.
Susulan itu, Pengarah Bersama JPRP, Datuk Seri Amirudin Shari, dilaporkan telah mengemukakan surat permohonan kepada Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaimon, semalam bagi memohon pelanjutan tempoh pendaftaran.
Menurut kenyataan sekretariat JPRP, pihaknya turut dimaklumkan bahawa Borang A hanya akan kembali tersedia pada Isnin, 6 Julai ini, berdasarkan maklumat yang diterima daripada beberapa pejabat SPR di peringkat daerah.
“Sehubungan itu, Parti Keadilan Rakyat berharap SPR Johor dapat memberikan ruang pelanjutan masa kepada semua calon untuk melengkapkan proses berkenaan,” menurut kenyataan itu hari ini.
PKR berkata pelanjutan tersebut penting bagi memastikan semua calon mempunyai peluang yang adil untuk memenuhi syarat pelantikan ETM dan EMU sebelum hari pengundian.
Dalam masa sama, parti itu merakamkan penghargaan kepada Pengarah SPR Johor kerana memberikan maklum balas segera terhadap permohonan berkenaan.
“Kami berharap pertimbangan baik ini akan membantu melancarkan proses demokrasi yang sedang berlangsung,” menurut kenyataan itu.
Permohonan tersebut dibuat ketika semua parti politik sedang melengkapkan urusan dokumentasi serta pelantikan ejen pilihan raya sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi PRN Johor ke-16.