Dzulkefly Ahmad fokus selesai isu trafik, perumahan dan pasar awam Kota Iskandar

FOTO BERITA: Walkabout & santuni penduduk serta edaran bahan kempen bersama calon Harapan N.49 Kota Iskandar Sr. Dzulkefly Ahmad di Bandar Baru Kangkar Pulai, Iskandar Puteri, Johor Bahru Johor. 5hb Julai 2026 (Ahad)

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.49 Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad, berkata isu kesesakan lalu lintas, penyediaan rumah mampu milik dan kemudahan pasar awam menjadi antara fokus utama beliau sepanjang tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Dzulkefly, kempen yang kini memasuki hari kesembilan menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila beliau berpeluang bertemu rakyat di pasar malam, pasar pagi, pasar awam serta melalui lawatan dari kedai ke kedai.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat baik. Dalam masa sama, saya menerima pelbagai keluhan dan permasalahan rakyat yang diharapkan dapat diselesaikan sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat mentadbir Johor,” katanya.

Beliau berkata antara isu paling kerap dibangkitkan ialah kesesakan lalu lintas di laluan utama yang menghubungkan Skudai, Gelang Patah, Pontian dan Ulu Choh, terutama melibatkan pekerja yang berulang-alik ke Singapura.

Katanya, ketika berkhidmat sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri sebelum ini, beberapa projek laluan alternatif telah dilaksanakan termasuk pembukaan persimpangan ke Second Link dan jalan baharu yang menghubungkan Taman Pulai Mutiara ke Gelang Patah bagi memendekkan perjalanan pengguna.

Dalam pada itu, Dzulkefly menegaskan isu perumahan mampu milik perlu diberi perhatian serius memandangkan pertambahan penduduk di kawasan Johor Bahru dan Kulai, khususnya golongan muda yang baru memulakan kerjaya dan berkeluarga.

Beliau berkata manifesto PH yang menyasarkan pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun adalah langkah lebih menyeluruh berbanding sasaran sedia ada.

“Kerajaan perlu memainkan peranan lebih agresif dengan memanfaatkan tanah milik kerajaan serta penglibatan syarikat berkaitan kerajaan bagi mempercepat pembinaan rumah mampu milik,” katanya.

Selain itu, beliau turut membangkitkan keadaan Pasar Awam Gelang Patah atau Pasar Taming Sari yang disifatkan uzur, kekurangan tempat letak kereta dan tidak lagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Menurutnya, kawasan Kota Iskandar yang menjadi pusat pentadbiran negeri serta berhampiran pelbagai pembangunan utama seharusnya memiliki sebuah pasar awam yang lebih moden dan selesa.

Mengulas mengenai sasaran keluar mengundi, Dzulkefly menyeru seramai 132,000 pengundi berdaftar di DUN Kota Iskandar supaya menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, 11 Julai ini.

Beliau berharap peratusan keluar mengundi dapat meningkat kepada sekurang-kurangnya 70 peratus bagi memastikan mandat yang diberikan benar-benar mencerminkan suara majoriti rakyat.

Beliau berharap peratusan keluar mengundi dapat meningkat kepada sekurang-kurangnya 70 peratus bagi memastikan mandat yang diberikan benar-benar mencerminkan suara majoriti rakyat.

Pertemuan tak dijangka di pasar malam Kangkar Pulai antara dua calon N.49, Kota Iskandar Sr. Dzulkefly Ahmad (PH-Amanah dan Datuk Pandak Ahmad (BN-UMNO) tetap bersahabat walaupun perbezaan ideologi politik
