Harga durian jatuh, PM janji bawa isu pekebun ke China bulan depan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berjanji membawa isu kejatuhan harga durian ke meja rundingan bersama rakan sejawatnya dari China Li Qiang bulan depan.
Menurutnya, usaha itu bertujuan mencari jalan memperluas akses pasaran durian Malaysia ke China, sekali gus membantu meningkatkan permintaan dan menstabilkan harga yang ketika ini menjejaskan pendapatan pekebun.
“Baik, saya janji satu perkara… Li Qiang itu Perdana Menteri (China) kawan baik (saya)… saya akan ke China bulan depan dan saya mahu bawa durian sebab saya tengok harga jatuh.
“China punya standard tinggi, tinggi sangat tapi saya (akan cuba) runding,” katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir malam tadi.
Beliau menegaskan hubungan baik Malaysia dan China perlu dimanfaatkan untuk membuka lebih banyak peluang dagangan yang akhirnya memberi manfaat kepada pengusaha serta pekebun tempatan khususnya ketika berdepan lambakan hasil.
Untuk rekod, musim pengeluaran durian yang berlaku serentak di beberapa negeri pengeluar raja buah itu menyebabkan berlaku lebihan bekalan sehingga memberi tekanan kepada harga di ladang.
Bekalan melebihi permintaan pasaran juga menjadikan kebanyakan varieti popular dan premium kini ditawarkan pada harga yang jauh lebih rendah.
BACA JUGA Johor negeri kaya, tetapi rumah rakyat masih mahal – PMX