Nurul Izzah yakin PH mampu sekat majoriti dua pertiga BN
Pakatan Harapan (PH) optimis mampu mengekalkan momentum sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus menghalang Barisan Nasional (BN) daripada memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata keyakinan itu bersandarkan kepada sambutan positif rakyat terhadap manifesto “Johor Untuk Semua”, selain komitmen jentera parti yang terus bekerja mendekati pengundi di seluruh negeri.
Menurut beliau, sasaran PH bukan sekadar menambah jumlah kerusi dimenangi, sebaliknya memastikan calon yang dipilih benar-benar mampu menjadi suara rakyat di dalam DUN.
“Kita mahu memilih wakil rakyat yang berani membawa suara rakyat, bukan sekadar mengisi kerusi. Keutamaan ialah memastikan dasar yang diperjuangkan memberi manfaat kepada masyarakat Johor,” katanya memetik laporan Suara Keadilan.
Nurul Izzah berkata, berdasarkan maklum balas sepanjang siri libat urus di lapangan, rakyat Johor mahukan pembangunan yang lebih seimbang, peluang pekerjaan bergaji tinggi, kemudahan asas yang lebih baik serta perancangan jangka panjang bagi menghadapi cabaran seperti perubahan iklim dan cuaca ekstrem.
Beliau berkata, manifesto “Johor Untuk Semua” dirangka berasaskan suara rakyat, khususnya berkaitan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan usaha mengurangkan penghijrahan anak muda Johor ke Singapura untuk mencari rezeki.
Menurutnya, sambutan terhadap manifesto itu setakat ini amat menggalakkan, namun keputusan muktamad tetap berada di tangan pengundi.
“Alhamdulillah, maklum balas yang diterima sangat positif. Namun, akhirnya rakyat Johor yang akan menentukan dan kita juga berserah kepada ketentuan Allah SWT,” katanya.
Mengulas mengenai barisan calon PH, Nurul Izzah berkata setiap calon telah melalui proses saringan yang menyeluruh, termasuk penilaian psikologi, bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, walaupun kempen berlangsung dalam suasana yang mencabar, jentera PH terus menunjukkan komitmen tinggi melalui pelbagai program kemasyarakatan, kebajikan dan keagamaan bagi mendekati pengundi.
Menjelang pengundian awal dan hari mengundi, beliau turut menggesa semua pengundi, khususnya pengundi awal, supaya menunaikan tanggungjawab demokrasi tanpa rasa takut atau tertekan.
“Kami berharap rakyat Johor membuat pilihan berdasarkan rekod prestasi, dasar dan komitmen calon yang benar-benar bersedia membawa suara rakyat serta membina masa depan Johor yang lebih maju dan inklusif,” katanya.
PRN Johor Ke-16 menyaksikan persaingan sengit antara PH, BN, Perikatan Nasional (PN) dan beberapa parti lain. Hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.
PH berharap momentum sokongan terhadap agenda pembangunan dan reformasi kerajaan MADANI dapat diterjemahkan kepada peningkatan kerusi serta menafikan penguasaan dua pertiga BN di DUN Johor.
BACA JUGA Bercelarunya Pas, nak Melayu bersatu tapi arah ahli pangkah MCA bukan calon Melayu PH