Anwar umum langkah besar untuk generasi Felda, anak peneroka bakal boleh bina rumah atas lot keluarga
Kerajaan bercadang meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka Felda.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Felda sudah diarahkan untuk menyediakan draf pindaan akta tersebut dalam tempoh dua bulan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, sebelum dibawa ke Parlimen tahun ini.
“Sekarang ini, lebih kurang 8,000 unit rumah telah disiap dibina, yang telah diduduki sejak 31 Disember 2025…sementara kita hendak luluskan akta itu dan sebagainya, kita salurkan serta-merta utiliti air dan elektrik, segera,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda, di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, hari ini.

Menurutnya, urusan penyediaan bekalan air terbabit akan diserahkan kepada kerajaan negeri, manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah diarahkan mempercepat pemasangan bekalan elektrik ke semua 8,000 rumah berkenaan.
Beliau berkata, projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang dilaksanakan sejak 2013 membabitkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah membabitkan tujuh negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak.
Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 12 tapak merangkumi 2,458 unit (29.8 peratus) sudah siap dengan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC), manakala 13 tapak (2,546 unit atau 30.9 peratus) masih dalam pembinaan, dengan 12 tapak disasarkan siap secara berfasa.
Peruntukan tambahan
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pada tahun ini, projek PGBF akan dilaksanakan di Besout, Perak membabitkan 102 unit diikuti Sungai Koyan, Pahang (68 unit) dan Pasoh, Negeri Sembilan (540 unit).
“Sebaik selesai, projek itu akan bersambung di Sungai Koyan (89 unit), Maokil, Johor (540 unit), Bukit Jalor, Negeri Sembilan (239 unit), Sungai Tekam, Pahang (100 unit) dan Papan Timur, Johor (539 unit).
“Kita bersambung tahun berikutnya, Kerteh 5, Terengganu (110 unit) dan disambung dengan Palong 8 Tapak A & B, Negeri Sembilan (300 unit), barulah kita sambung dengan Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan (300 unit),” katanya.
Tambahnya, kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan 554 unit PGBF yang terbengkalai di Bukit Aping Timur dan Pasak, Johor serta Kerteh 5, Terengganu.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM20 juta bagi menyelesaikan projek Sentuhan Kasih Felda (SKF) di dua tapak Laka Selatan, Kedah membabitkan 86 unit dan 100 unit di Palong 16, Negeri Sembilan bagi kebajikan dan kesejahteraan generasi baru Felda.
Beliau berkata, sebanyak 31,954 Lot Generasi Felda juga dikenal pasti memerlukan tindakan segera, termasuk 15,438 lot di Johor, 244 lot di Kelantan, Terengganu (137 lot), Negeri Sembilan (100 lot) dan Pahang (16,000 lot).
BACA JUGA Petugas Felda dapat durian runtuh, PM Anwar umum RM450 juta baik pulih dan bina rumah baharu