Cabar Onn Hafiz jelaskan pendirian menteri-menteri Umno mengenai BUDI95

Kritikan terhadap pelaksanaan program subsidi petrol bersasar BUDI95 tidak seharusnya mengabaikan tujuan asal dasar itu diperkenalkan, iaitu melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak dunia, kata Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali.

Beliau berkata, dakwaan bahawa kuota bulanan BUDI95 membebankan rakyat tidak menggambarkan keseluruhan konteks pelaksanaan dasar berkenaan, yang diperkenalkan selepas kerajaan menolak cadangan pengapungan penuh harga bahan api.

Menurutnya, Kerajaan MADANI memilih pendekatan subsidi bersasar bagi memastikan bantuan terus dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan, walaupun langkah itu lebih sukar dilaksanakan.

“BUDI95 diperkenalkan selepas kerajaan meneliti pelbagai pilihan. Ketika itu ramai pakar ekonomi, termasuk Bank Dunia, mencadangkan supaya subsidi bahan api diapungkan mengikut harga pasaran.

“Tetapi Kerajaan MADANI memilih jalan yang lebih bertanggungjawab dengan mengekalkan perlindungan kepada rakyat melalui subsidi bersasar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sheikh Omar mengulas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sebelum ini menggesa kerajaan Persekutuan memansuhkan kuota bulanan BUDI95 kerana didakwa membebankan rakyat.

Menurut beliau, mekanisme BUDI95 memainkan peranan penting ketika harga minyak dunia meningkat susulan konflik di Asia Barat dan gangguan rantaian bekalan global.

Katanya, tanpa mekanisme tersebut, rakyat Malaysia berkemungkinan terpaksa menanggung kenaikan harga petrol yang jauh lebih tinggi.

“Inilah hakikat yang perlu dijelaskan kepada rakyat, bukannya disembunyikan demi meraih laba politik,” katanya.

Sheikh Omar turut mempersoalkan tindakan Onn Hafiz mengkritik dasar kerajaan Persekutuan sedangkan Umno mempunyai tujuh wakil dalam Jemaah Menteri.

Beliau berkata, sekiranya terdapat kelemahan dalam pelaksanaan BUDI95, perkara itu sepatutnya dibincangkan dalam kerajaan, bukannya dijadikan bahan serangan terbuka.

“Jika benar ada kelemahan dalam pelaksanaan, bawalah berbincang. Bukan menjadikannya bahan serangan terbuka seolah-olah mereka sendiri bukan sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

Beliau turut mendakwa Onn Hafiz kerap tidak menghadiri mesyuarat antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri, sekali gus menyifatkan perkara itu mungkin menyebabkan beliau kurang mendapat penjelasan mengenai dasar kerajaan.

Sheikh Omar berkata Kerajaan MADANI tidak pernah mendakwa semua dasar yang diperkenalkan adalah sempurna, sebaliknya sentiasa terbuka menerima pandangan rakyat bagi menambah baik pelaksanaannya.

Menurut beliau, matlamat utama penyasaran subsidi adalah memastikan bantuan sampai kepada golongan yang layak, mengurangkan ketirisan dan pada masa sama melindungi kebajikan rakyat ketika ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa bantahan terhadap BUDI95 hanya dibangkitkan sekarang sedangkan penyasaran subsidi diesel bermula pada 2024 dan mekanisme BUDI95 diperkenalkan pada September 2025.

“Johor memerlukan kepimpinan yang menawarkan penyelesaian, bukannya sekadar mengulangi retorik yang biasa dimainkan cybertrooper,” katanya.

BUDI95 diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI pada September 2025 sebagai mekanisme subsidi petrol bersasar bagi melindungi pengguna yang layak daripada kesan turun naik harga minyak global.

Dalam kempen PRN Johor, dasar itu menjadi antara isu yang diperdebatkan selepas Onn Hafiz menggesa kuota bulanan BUDI95 dimansuhkan.

Kerajaan Persekutuan pula menegaskan mekanisme berkenaan merupakan sebahagian daripada reformasi subsidi bagi memastikan bantuan lebih bersasar dan mengurangkan ketirisan.

BACA JUGA Tengku Zafrul: JS-SEZ inisiatif Persekutuan, jangan dipolitikkan