Pakej besar FELDA, calon PH Tanjung Surat kata bukti kerajaan bela peneroka
Pengumuman pelbagai inisiatif bernilai hampir RM2 bilion sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA disifatkan sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kebajikan peneroka serta menjamin masa depan generasi pewaris.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N39 Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani berkata, pakej yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan sekadar memberi kelegaan kepada peneroka, malah menjadi pelan jangka panjang untuk memperkukuh institusi FELDA.
“Komitmen kerajaan menyelesaikan hutang dan meningkatkan pendapatan peneroka membabitkan hampir RM2 bilion merupakan langkah yang amat signifikan.
“Ia merangkumi bayaran balik sukuk dan penghapusan hutang peneroka sebanyak RM990 juta, tambahan lebih RM1 bilion pada 2027 serta peningkatan pendapatan kira-kira RM42 juta menerusi pelaksanaan semula sistem jualan sawit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Faizul, pengumuman peruntukan RM620 juta bagi pembangunan perumahan peneroka dan generasi FELDA turut memberi harapan baharu kepada golongan muda yang selama ini berdepan isu pemilikan rumah dan lot generasi kedua.
Katanya, langkah itu menunjukkan kerajaan bukan sahaja memberi perhatian kepada peneroka sedia ada, malah turut merancang masa depan anak-anak dan cucu warga FELDA.
Beliau turut menyambut baik peruntukan RM28.85 juta bagi memperkasakan aspek digital, pendidikan dan kesihatan komuniti FELDA, termasuk program literasi digital di 317 rancangan FELDA, kerja baik pulih 370 sekolah serta penubuhan Skuad MAYA FELDA.
“Semua ini selari dengan keperluan semasa supaya masyarakat FELDA tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan dan pembangunan modal insan,” katanya.
Menghargai sumbangan
Selain itu, Faizul berkata, kelulusan RM450 juta bagi menaik taraf rumah petugas FELDA dalam tempoh tiga tahun membuktikan kerajaan turut menghargai sumbangan warga kerja yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan institusi itu.
Beliau menyifatkan keseluruhan pengumuman berkenaan sebagai satu isyarat bahawa FELDA sedang diperkukuh secara lebih tersusun dengan penekanan kepada integriti, kemampanan dan kesejahteraan rakyat.
“Saya berharap segala inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan mengikut perancangan supaya manfaatnya benar-benar dirasai oleh peneroka dan generasi pewaris FELDA di seluruh negara,” katanya.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA yang menyaksikan beberapa inisiatif melibatkan kebajikan peneroka, pembangunan komuniti serta pengukuhan institusi FELDA diumumkan sebagai sebahagian agenda memperkasa tanah rancangan berkenaan.
BACA JUGA 94.49% dah selesai mengundi! Pengundi awal PRN Johor beri isyarat awal