AWAN Kelantan bantu kempen PH di Semarang, rayu pengundi pilih berdasarkan prestasi

Jentera Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) Negeri Kelantan turun membantu kempen Pakatan Harapan (PH) di DUN Semarang dalam usaha memperkukuh sokongan pengundi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

ADUN Kota Lama yang juga Naib Ketua AWAN Nasional, Dr Hafidzah Mustakim berkata, pasukan AWAN Kelantan meneruskan tugasan lapangan dengan menjejaki pengundi di Kampung Seri Paya bagi menyampaikan maklumat berkaitan kejayaan PH serta tawaran khusus calon PH bagi N20 Semarang, Ramli Abd Hamid.

Menurut beliau, pendekatan bertemu pengundi secara langsung penting bagi memastikan rakyat membuat pilihan berdasarkan maklumat yang benar dan jelas.

“Hari ini bersama pasukan AWAN Negeri Kelantan meneruskan tugasan dan amanah membantu kemenangan Pakatan Harapan di DUN Semarang.

“Kami jejaki pengundi di Kg Seri Paya. Berbekalkan risalah kejayaan Pakatan Harapan dan tawaran khusus calon N20 Semarang, Ramli Abd Hamid, kami rayu pengundi agar memilih dengan maklumat yang benar,” katanya.

Dr Hafidzah yang juga Ketua Wanita PH Kelantan berkata, suasana PRN Johor kali ini disifatkan sengit, namun semangat jentera PH tetap tidak luntur sehingga ke saat akhir kempen.

Ketua AWAN Negeri Kelantan itu juga menegaskan pengundi wajar membuat pertimbangan berdasarkan prestasi dan rekod perkhidmatan, bukannya dipengaruhi sentimen perkauman atau agama.

“PRN Johor ini sengit.

“Apa pun sehingga ke saat-saat akhir kempen, semangat kami tidak pernah luntur untuk meyakinkan pengundi agar mereka memilih dengan bijak berdasarkan prestasi, bukan semata-mata sentimen perkauman mahupun agama,” katanya.

DUN Semarang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PH-AMANAH, Ramli Abd Hamid; Datuk Samsolbari Jamali (BN-Umno) dan Muhammad Syafiq Abdul Aziz (PN-Bersatu).

BACA JUGA Hafiz Roslan tekad bawa Agenda Generasi Felda di Machap