Fuziah yakin barisan calon muda mampu yakinkan pengundi Johor
Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan barisan calon yang lebih muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai strategi untuk mendekati hampir 1.3 juta pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun di negeri itu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), golongan muda membentuk kumpulan pengundi terbesar yang berpotensi menjadi penentu keputusan PRN Johor.
Justeru katanya, daripada 56 calon yang dipertaruhkan PH, seramai 38 calon atau 67.9 peratus berusia 50 tahun ke bawah.
“Malah, lima daripada 12 calon termuda yang bertanding pada PRN Johor kali ini mewakili PH.
“Ini memberi gambaran jelas bahawa PH bukan sekadar bercakap mengenai peluang kepada generasi baharu, tetapi benar-benar menterjemahkannya melalui pemilihan calon,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Menurut Fuziah, PH turut mencatat purata umur calon paling muda berbanding parti utama lain, iaitu 45.5 tahun, berbanding 47.7 tahun bagi Perikatan Nasional (PN) dan 49.6 tahun bagi Barisan Nasional (BN).
Bagi beliau, inilah kekuatan sebenar strategi PH dalam PRN Johor kali ini yang bukan sekadar mempertaruhkan calon muda, tetapi menggabungkan tenaga generasi baharu dengan pengalaman kepimpinan bagi membentuk sebuah pasukan yang bersedia mentadbir.
“Dengan hampir 1.3 juta pengundi terdiri daripada golongan muda, pendekatan ini berpotensi menjadi antara faktor penting dalam meraih sokongan mereka pada PRN Johor,” katanya.
BACA JUGA Rumah AS$13 juta : Mengapa isu ini kembali menghantui bayang-bayang 1MDB?