Hari Peneroka Bukti Komitmen Kerajaan MADANI Bela Kebajikan Peneroka dan Generasi FELDA

FOTO BERITA: Calon HARAPAN N39 DUN Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani, menyifatkan pengumuman pelbagai inisiatif sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai bukti jelas komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kebajikan peneroka serta masa depan generasi FELDA. (Gambar: FB Faizul Abd Ghani)

Menurut beliau, pakej inisiatif yang diumumkan melibatkan komitmen hampir RM2 bilion untuk menyelesaikan isu hutang dan meningkatkan pendapatan peneroka, termasuk bayaran balik Sukuk, penghapusan hutang peneroka berjumlah RM990 juta, tambahan lebih RM1 bilion pada tahun 2027 serta penambahan pendapatan sebanyak RM42 juta menerusi pelaksanaan semula model jualan sawit kepada sistem asal.

Faizul berkata, peruntukan RM620 juta bagi perumahan peneroka FELDA juga merupakan langkah signifikan dalam menangani isu rumah dan lot generasi FELDA, sekali gus memastikan generasi pewaris terus mendapat perhatian dalam agenda pembangunan negara.

Beliau turut menyambut baik peruntukan RM28.85 juta bagi memperkasakan aspek digital, pendidikan dan kesihatan komuniti FELDA, termasuk pelaksanaan program literasi digital di 317 rancangan FELDA, kerja-kerja baik pulih 370 sekolah serta penubuhan Skuad MAYA FELDA.

Selain itu, kelulusan RM450 juta untuk menaik taraf rumah petugas FELDA dalam tempoh tiga tahun dilihat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan warga kerja FELDA yang menjadi tunjang kepada pembangunan dan kelangsungan institusi tersebut.

“Ini bukan sekadar pengumuman, sebaliknya satu isyarat bahawa FELDA sedang diperkukuhkan secara lebih tersusun, berintegriti dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA kepada seluruh warga FELDA serta berharap institusi itu terus maju, kebajikan peneroka terus terbela dan generasi pewaris diberi peluang membina masa depan yang lebih sejahtera.
