“Kalau semua MB macam Pahang…” Mesej PMX cetus perhatian? 

Hubungan yang harmoni antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menjadi syarat penting bagi memastikan setiap permohonan dan keperluan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan tersusun.

Mesej itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka FELDA 2026 sempena ulang tahun ke-70 FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Tanpa menyebut mana-mana negeri atau pemimpin tertentu, beliau memuji hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang yang menurutnya memudahkan urusan menyelesaikan pelbagai isu melibatkan rakyat.

“Terima kasih kepada Menteri Besar atas kerjasama yang diberikan. Kalau semua Menteri Besar macam inilah, senanglah kerja kita. Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri mesti mempunyai hubungan yang baik. Bila hubungan itu baik, apabila negeri memohon sesuatu, kita boleh pertimbangkan dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Pahang sebagai contoh yang wajar dicontohi negeri lain.

“Pahang ini menjadi contoh yang patut dipelajari oleh negeri-negeri lain. Yang penting ialah saling memahami, saling menghormati dan bekerjasama.”

Menurut beliau, perbezaan pandangan antara kerajaan Persekutuan dan negeri bukan sesuatu yang luar biasa, namun ia perlu diurus melalui semangat kerjasama.

“Sudah tentu ada perkara yang kita setuju dan ada yang kita tidak setuju. Tetapi apabila ada perbezaan pandangan, kita hadapi dengan sabar dan semangat kerjasama,”katanya.

Ucapan itu menarik perhatian kerana dibuat ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin memuncak.

Sejak beberapa minggu lalu, hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Johor menjadi perhatian susulan beberapa kenyataan terbuka Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi, yang mengkritik beberapa dasar kerajaan Persekutuan, termasuk isu penyasaran subsidi RON95 melalui BUDI MADANI serta beberapa dasar ekonomi lain.

Walaupun Perdana Menteri tidak menyebut Johor secara langsung, penekanannya mengenai kepentingan hubungan baik antara kedua-dua peringkat kerajaan dilihat mempunyai signifikan politik dalam suasana kempen ketika ini.

Dalam ucapan sama, Anwar mengaitkan hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri dengan keupayaan kerajaan menyalurkan bantuan serta melaksanakan projek pembangunan dengan lebih lancar.

Sepanjang lawatan ke Pahang, kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif utama untuk FELDA, termasuk penyelesaian isu perumahan generasi kedua, tambahan peruntukan bagi projek perumahan yang terbengkalai, pembaikan sekolah, program literasi digital dan langkah meningkatkan pendapatan peneroka.

Kesemua inisiatif itu memerlukan penyelarasan rapat antara kementerian, agensi Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.

Beberapa netizen di ruangan komen berpendapat mesej yang dibawa Perdana Menteri lebih menjurus kepada kepentingan tadbir urus berbanding perbezaan politik.

Dalam sistem Persekutuan, banyak urusan melibatkan tanah, perancangan pembangunan, utiliti dan infrastruktur berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tanpa kerjasama yang baik, proses kelulusan dan pelaksanaan projek boleh mengambil masa lebih panjang, sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

Sebaliknya, hubungan yang konsisten antara kerajaan Persekutuan dan negeri membolehkan pelbagai isu diselesaikan melalui rundingan tanpa menjadikan rakyat mangsa perbezaan politik.

Dalam konteks itu, ucapan Anwar di Pahang boleh dibaca sebagai satu penegasan bahawa pembangunan memerlukan hubungan institusi yang matang, saling menghormati dan berasaskan kepentingan rakyat.

Menjelang PRN Johor, mesej tersebut dijangka terus menjadi antara naratif yang akan diperdebatkan, khususnya apabila isu kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri semakin mendapat perhatian pengundi.

BACA JUGA Rizab Malaysia cecah AS$132.6 bilion! Apa sebenarnya yang sedang berlaku pada ekonomi negara?