Kerajaan dengar keluhan, caruman LINDUNG 24 jam kini tidak lagi mandatori
Jemaah Menteri hari ini memutuskan caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi bersifat mandatori.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, keputusan itu berkuat kuasa serta-merta dan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji selepas ini akan dibuat secara sukarela.
“Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi LINDUNG 24 Jam di bawah PERKESO.
“Justeru Jemaah Menteri hari ini bersetuju supaya caruman tersebut dilaksanakan secara sukarela dan bukannya diwajibkan. Keputusan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan petang tadi.
Fahmi memaklumkan, kenyataan lanjut akan diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) nanti
Sebelum ini, lebih 9 juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilaporkan menerima perlindungan automatik bagi kemalangan bukan bencana kerja mulai 1 Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan melalui pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, memperuntukkan jaringan perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas di Malaysia, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.