Kerajaan hargai komitmen sektor perbankan jawab seruan MADANI bantu rakyat, peniaga kecil
Kerajaan MADANI menerima baik langkah industri perbankan memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membantu pelanggan individu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan cabaran kos sara hidup serta kesan ketidaktentuan ekonomi global dan konflik di Asia Barat.
Menurut MOF, langkah ini jelas menyahut saranan Kerajaan MADANI agar sektor kewangan terus mengamalkan nilai ihsan dan ekonomi manusiawi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat serta perniagaan kecil.
Inisiatif tersebut merangkumi pengenalan Kad Kredit Asas, pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di ATM bank serta bantuan bersasar kepada peminjam dan PMKS yang terkesan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai komitmen industri perbankan dalam memperluas akses kewangan yang lebih mudah, berpatutan dan bertanggungjawab.
“Dalam keadaan rakyat dan PMKS berdepan tekanan kos serta aliran tunai, institusi kewangan berperanan penting membantu pelanggan mereka dengan penyelesaian yang berhemat, tangkas dan berperikemanusiaan.
“Hatta, saya merakamkan penghargaan kepada industri perbankan negara kerana menyahut saranan kerajaan untuk mengorak langkah ke arah sistem kewangan yang lebih manusiawi,” katanya.
Antara langkah utama industri perbankan bantu rakyat dan PMKS;
1) Kad Kredit Asas diperkenalkan
Kad kredit yang lebih ringkas, bertanggungjawab dan berpatutan.
Kadar pembiayaan dihadkan kepada 14% setahun, lebih rendah daripada had tertinggi semasa 18%.
Had kredit ditetapkan pada paras lebih terkawal.
Pemegang kad kredit sedia ada boleh pindahkan baki tertunggak ke Kad Kredit Asas tanpa caj.
2) Caj RM1 pengeluaran ATM dimansuhkan
Bermula 1 Julai 2026, rakyat boleh keluarkan wang tunai di mana-mana ATM bank di Malaysia tanpa caj RM1. Melibatkan lebih 14,000 ATM seluruh negara.
3) Bantuan kepada peminjam dan PMKS terkesan
Bank akan beri bantuan bersasar seperti penangguhan bayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran dan pelanjutan tempoh pinjaman.
Sejak akhir April 2026, bank telah memproses permohonan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman bernilai lebih RM4.7 bilion untuk lebih 1,100 peminjam.
4) Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS RM5 bilion
Setakat 25 Jun 2026, kira-kira RM1 bilion pembiayaan telah diluluskan kepada sekitar 1,500 peminjam PKS. Masih ada kira-kira RM4 bilion baki peruntukan untuk sokongan lanjut.
Sementara itu MOF menyarankan peminjam dan PMKS yang terkesan menghubungi bank masing-masing lebih awal bagi mendapatkan bantuan bersesuaian.
Mereka juga boleh mendapatkan sokongan tambahan melalui skim jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC), selain khidmat nasihat serta bantuan kewangan melalui AKPK.
“Kerajaan MADANI akan terus bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia dan industri perbankan bagi memastikan sistem kewangan negara kekal stabil, terangkum dan berpihak kepada rakyat,” menurut MOF.