Muhyiddin arah penyokong jangan undi BN, bentuk pembangkang yang kuat 

Pengundi diminta tidak memberikan kemenangan terlalu besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana negeri itu memerlukan sebuah blok pembangkang yang kuat untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.

Mesej itu disampaikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berpandangan tiada jaminan sesebuah kerajaan akan terus bekerja bersungguh-sungguh sekiranya memperoleh majoriti yang terlalu besar di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Apa tujuan kita nak sokong Barisan Nasional? Jangan sokong kerana tidak ada jaminan. Sekarang orang kata dia boleh menang 40 kerusi.

“Kalau dah menang 40 kerusi, dia berlenggang tangan, tak buat apa-apa pun sebab rakyat dah sokong dan akhirnya tidak ada apa-apa berlaku,” katanya ketika berucap pada ceramah kempen Perikatan Nasional (PN) di Parit Raja, malam tadi.

Presiden Bersatu itu berkata, walaupun PN mungkin tidak berjaya membentuk kerajaan negeri berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi, gabungan itu masih perlu memenangi kerusi yang mencukupi bagi menjadi pembangkang yang berkesan.

“Kalau tak boleh bentuk kerajaan, kita menjadi pembangkang pengimbang atau check and balance(semak dan imbang) supaya kerajaan yang ada tidak boleh buat sesuka hati.

“Mereka akan dipersoalkan dalam DUN dan rakyat boleh mengetahui bagaimana wang negeri digunakan,” katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengingatkan pengundi Melayu supaya keluar mengundi kerana berdasarkan rekod pilihan raya lalu, kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Melayu merupakan yang paling rendah berbanding kaum lain.

“Kalau ikut rekod yang lepas, peratusan pengundi Melayu yang keluar berbanding bangsa lain adalah yang terendah.

“Maknanya ramai yang tidak keluar mengundi. Jadi saya mohon kerjasama semua yang hadir di sini supaya beritahu saudara-mara, sahabat handai dan rakan-rakan yang layak supaya keluar mengundi,” katanya.

Beliau turut menggesa pengundi memberikan sokongan kepada calon PN bagi kerusi DUN Parit Raja, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, pada hari pengundian Sabtu ini.

BACA JUGA 7 ‘hadiah’ buat Peneroka FELDA: Rumah, tanah, sekolah… pendapatan pun bertambah