PKR Pahang nafi dakwaan Anwar kena boo, tegur laporan mengelirukan

PKR Pahang menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima sorakan “boo” ketika menghadiri Sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan dan Sambutan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Ketua Penerangan PKR Pahang, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim berkata, laporan sebuah portal dalam talian yang bertajuk “PKR Pahang Kesal PMX Anwar Kena ‘Boo’ ” adalah tidak benar, mengelirukan dan bukan kenyataan rasmi PKR negeri itu.

Menurut beliau, sepanjang beliau hadir sendiri ke program tersebut, sama sekali tiada insiden seperti tersebut berlaku.

Sebaliknya, majlis berlangsung dalam suasana yang meriah, teratur dan mendapat sambutan luar biasa daripada puluhan ribu warga FELDA yang hadir. Setiap pengumuman berkaitan inisiatif serta kebajikan peneroka disambut dengan tepukan dan reaksi yang positif.

“Dakwaan bahawa Perdana Menteri ‘kena boo’ adalah satu naratif yang diputarbelitkan dan disensasikan sehingga tidak menggambarkan keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Suhaimi berkata, majlis itu berlangsung dalam suasana meriah, teratur dan mendapat sambutan luar biasa daripada puluhan ribu warga FELDA yang hadir.

Beliau turut mendakwa setiap pengumuman berkaitan inisiatif serta kebajikan peneroka disambut dengan tepukan dan reaksi positif.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PKR Pahang tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang didakwa dalam laporan berkenaan, termasuk menggunakan bahasa atau gelaran yang menghina warga FELDA.

Beliau turut mendakwa penyebaran naratif sedemikian lebih menjurus kepada usaha membentuk persepsi politik berbanding melaporkan fakta secara adil dan beretika.

Sehubungan itu, Suhaimi menyeru semua pihak, khususnya pengamal media dan pengguna media sosial, supaya lebih bertanggungjawab dalam menyemak serta menyebarkan maklumat.