Terkini lebih 120 pemimpin Bersatu bahagian Pulai pula nyata sokongan kepada PH

Selepas beberapa hari kepimpinan Bersatu bahagian Sri Medan menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH), hari ini lebih 120 bekas ahli dan pimpinan Bersatu bahagian Pulai pula mengisytiharkan sokongan sama kepada PH.

Dalam satu sidang media Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, hasrat untuk menyokong PH telah dinyatakan lebih awal, namun hanya hari ini mereka bersedia untuk mengumumkannya.

Menurut Bernama, antara bekas pimpinan yang menyertai PH ialah bekas Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Bahagian Pulai Rafidah Ani; bekas Setiausaha Srikandi Bahagian Pulai Noriah Mat Daud; bekas Pengerusi Bersatu Cawangan Bukit Mewah Mohd Suhimi Abdul Rahman serta beberapa ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan.

“Mereka telah menyatakan hasrat itu lebih awal, tetapi kesediaan untuk mengumumkannya dibuat pada hari ini… mereka juga telah memaklumkan perkara itu kepada pimpinan (Bersatu),” katanya dalam sidang media di Johor Bahru hari ini seperti dilapor.

Muhammad Faezuddin, yang juga Ketua Angkatan Muda PKR Johor, berkata faktor utama mereka menyokong PH adalah didorong oleh pendekatan gabungan itu yang membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Apabila menjadi wakil rakyat atau kerajaan, kita bantu semua… selepas pilihan raya, kita bantu rakyat tanpa mengira mereka daripada Bersatu, UMNO, PKR, DAP atau mana-mana parti… 

“Kita mahu membawa budaya politik baharu, bukan budaya lama yang hanya membantu penyokong atau kroni parti tertentu… mungkin pendekatan itu menyebabkan mereka selesa untuk bersama kita,” katanya.

Sementara itu, Rafidah mendakwa rasa kecewa terhadap kepimpinan Bersatu yang sukar memberikan penghargaan serta bantuan kepada masyarakat mendorong beliau beralih arah ke PH.

Sepanjang penglibatannya, beliau berhasrat membantu golongan memerlukan seperti ibu tunggal namun berdepan kesukaran mendapatkan sokongan yang sewajarnya daripada parti lama.

Untuk rekod, Muhammad Faezuddin berdepan persaingan tiga penjuru di DUN Kempas menentang calon Barisan Nasional dan Parti Bersama Malaysia (Bersama).