‘Jangan bazir undi pada Kancil’, Tian Chua rayu pengundi kukuhkan PH di Johor
Parti Kancil yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli tidak dilihat mampu memberi impak besar kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya pengundi diseru memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) sebagai blok semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, keutamaan pengundi ketika ini ialah memastikan PH memperoleh mandat yang mencukupi bagi mengimbangi kuasa kerajaan negeri, sekali gus mengelakkan pentadbiran dikuasai sepenuhnya oleh satu gabungan politik.
Beliau berkata, walaupun PH kini membentuk Kerajaan Persekutuan bersama Barisan Nasional (BN), peranan gabungan itu di Johor masih penting bagi memastikan wujud sistem semak dan imbang yang berkesan.
“Kita telah capai dalam perjuangan reformasi bahawa di semua arena politik mesti ada keseimbangan kuasa. Jika sesebuah kerajaan dimonopoli oleh satu parti, ia boleh membawa kesan yang tidak baik kerana tiada mekanisme semak dan imbang dalam pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengundi yang layak supaya pulang mengundi dan memberikan sokongan kepada PH bagi memastikan suara pembangkang kekal relevan di DUN Johor.
Mengulas dakwaan wujud gerakan memboikot PRN dalam kalangan pengundi Cina, Tian Chua bagaimanapun tidak menganggap perkara itu sebagai isu besar.
Menurutnya, kadar keluar mengundi yang rendah lebih berpunca daripada faktor motivasi memandangkan pilihan raya kali ini hanya membabitkan sebuah negeri, selain kekangan pekerjaan yang menyebabkan sebahagian pengundi memilih untuk tidak pulang.
“Saya rasa isu boikot tidak wujud. Cuma mungkin kurang motivasi sebab ini hanya pilihan raya negeri dan ada yang merasakan kerja lebih penting daripada mengambil cuti untuk balik mengundi.
“Tetapi saya rasa ini bukan perkara yang harus kita abaikan kerana akhirnya kesan daripada PRN ini akan ditanggung oleh pengundi sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tian Chua menegaskan PH bukan sebuah gabungan yang memperjuangkan kepentingan mana-mana kaum semata-mata, sebaliknya membawa agenda keseimbangan kuasa demi kepentingan seluruh rakyat.
Katanya, masyarakat pelbagai kaum memahami kepentingan sistem politik yang mempunyai semak dan imbang kerana ia menjadi asas kepada pentadbiran yang lebih telus dan stabil.
Sebelum ini, Rafizi mengumumkan Parti Kancil akan bertanding di 15 kerusi DUN pada PRN Johor. Daripada jumlah itu, lapan kerusi kini disandang Umno, lima disandang DAP, manakala masing-masing satu kerusi disandang PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
BACA JUGA Banyaknya duit rakyat hangus, hutang 1MDB cecah RM51.4 bilion