PRN Johor jangan jadi titik kebangkitan semula skandal terbesar negara
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar medan memilih kerajaan negeri yang baharu.
Lebih besar daripada itu, ia menjadi ujian sama ada rakyat mahu terus mempertahankan prinsip integriti dan akauntabiliti atau membuka ruang kepada kembalinya budaya politik yang pernah mengheret Malaysia ke dalam skandal terbesar dalam sejarah negara.
Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata kenyataan Datin Seri Rosmah Mansor bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan PRN Johor wajar dihormati.
Namun menurutnya, nama Rosmah kembali menjadi perhatian selepas beberapa laporan media antarabangsa membangkitkan semula isu berkaitan aset di Amerika Syarikat.
Beliau merujuk kepada laporan Sarawak Report serta New York Post yang diterbitkan pada awal Julai lalu, termasuk dakwaan mengenai sebuah rumah agam di New Jersey yang dilaporkan dipindahkan kepada seorang individu dengan nilai nominal AS$10 dalam dokumen pemindahan hak milik.
Menurut Sheikh Omar, Rosmah sebelum ini telah menafikan kaitan dengan pemilikan aset tersebut dan penafian itu perlu dihormati.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa penjelasan lanjut wajar diberikan supaya segala persoalan yang timbul dapat diperjelaskan dan tidak terus menjadi bahan spekulasi.
Katanya, isu yang dibangkitkan bukan sekadar mengenai aset semata-mata, malah turut mencetuskan pelbagai perbincangan awam berkaitan usaha mendapatkan pembebasan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Sheikh Omar mengingatkan bahawa rakyat pernah melalui episod yang hampir sama ketika skandal 1MDB mula didedahkan. Pada waktu itu, pelbagai pendedahan oleh media tempatan dan antarabangsa dipersoalkan serta dianggap sebagai fitnah.
Namun, keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum 2018 membuka ruang kepada siasatan dan proses kehakiman dijalankan dengan lebih bebas sehingga akhirnya beberapa kes berkaitan 1MDB dan SRC diputuskan oleh mahkamah.
Beliau berkata, Najib telah disabitkan bersalah dalam kes SRC International dan sabitan itu dikekalkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
Terbaharu, Najib turut disabitkan bersalah dalam satu lagi kes berkaitan dana 1MDB, walaupun masih mempunyai hak untuk meneruskan proses rayuan mengikut saluran undang-undang.
Dalam masa sama, Sheikh Omar berkata beliau bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa UMNO tidak akan berubah sekiranya terus diberikan kemenangan besar. Beliau turut menyifatkan kenyataan Nazifuddin Najib yang berharap bapanya dibebaskan sebagai sesuatu yang menimbulkan pelbagai tafsiran dalam kalangan rakyat.
Tegas beliau, perjuangan menentang rasuah, salah guna kuasa dan penyalahgunaan amanah awam masih belum selesai.
Apa yang dimulakan oleh rakyat pada tahun 2018 bukan sekadar pertukaran kerajaan, tetapi usaha memastikan tiada sesiapa mengatasi kedaulatan undang-undang walau setinggi mana kedudukannya.
Justeru, beliau mengingatkan agar PRN Johor tidak dijadikan titik permulaan untuk menghidupkan semula budaya politik yang pernah mencalarkan nama Malaysia di mata dunia.
Sebaliknya, rakyat Johor perlu terus menghantar mesej yang jelas bahawa masa depan negara mesti dibina atas asas integriti, akauntabiliti, tadbir urus yang baik dan penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang.
BACA JUGA Kerajaan nafi Jho Low ke Malaysia untuk rundingan 1MDBÂ