Terkini MB Perlis letak jawatan MPT Bersatu
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dilaporkan telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Perkara ini disahkan Abu Bakar yang memaklumkan bahawa peletakan jawatan beliau kerana kekangan masa menghadiri mesyuarat parti di peringkat Pusat.
Turut mengambil langkah sama menyerahkan surat peletakan jawatan pada minggu lalu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena merangkap EXCO kerajaan negeri, Marzita Mansor
“Peletakan jawatan ini tiada kaitan langsung dan tidak menjejaskan kedudukan saya sebagai Menteri Besar Perlis.
“Saya melepaskannya semata-mata kerana tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada MPT dalam keadaan kesibukan di Perlis ketika ini.
“Saya dan Marzita berbincang secara mendalam berhubung perkara ini. Kami memberi laluan kepada orang lain untuk terus berkhidmat di peringkat pusat, sementara kami memfokuskan perkhidmatan di negeri,” katanya memetik Berita Harian.
Menjelaskan kedudukannya di peringkat negeri, Abu Bakar berkata, beliau masih kekal sebagai ahli parti, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis dan Ketua Bersatu Bahagian Kangar dengan kebenaran presiden parti, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.
Katanya, beliau menghormati kepimpinan tertinggi parti dan menafikan tindakan itu berpunca daripada tekanan mahupun niat untuk melompat parti.