Ahmad Daniel: Pengundi muda tak mudah lupa isu Najib 

Isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menjadi liabiliti kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata calon Pakatan Harapan (PH) DUN Panti, Ahmad Daniel Sharudin.

Menurut Ahmad Daniel, pengundi terutama golongan muda kini lebih matang dan mampu menilai sendiri rekod kepimpinan serta kes mahkamah yang pernah mencetuskan perhatian dunia.

“Saya rasa isu Datuk Seri Najib ini sangat membantu kita. Rakyat kita tidak lupa dan saya percaya mereka tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

“Kes ini bukan dibicarakan di Malaysia sahaja. Ia mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, jadi ia bukan cerita yang direka-reka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program podcast Arus MyTV.

Mengulas berkenaan sokongan tradisi BN di Johor ketika ini, Daniel berkata, situasinya dilihat tidak banyak berubah dan sukar berkembang seperti suatu ketika dahulu.

Katanya, keadaan itu lebih ketara apabila pengundi muda kini lebih gemar mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan semangat kerjasama kerajaan perpaduan yang menurutnya tidak diterjemahkan di Johor.

“Di peringkat Persekutuan, PH memberi ruang kepada Umno dalam kerajaan perpaduan, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dan beberapa portfolio menteri.

“Tetapi di Johor, semangat itu tidak berlaku. Sepatutnya PH juga diberikan peluang untuk bersama membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas keadaan Perikatan Nasional (PN), Ahmad Daniel mendakwa Bersatu berdepan cabaran dalaman dan tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakan gabungan sendiri.

“Saya bersimpati dengan rakan-rakan dalam Bersatu. Dalam satu gabungan, kita sepatutnya saling membantu calon masing-masing.

“Dalam PH, walaupun saya daripada Amanah, jentera PKR dan DAP turut membantu kempen saya. Itu semangat sebuah gabungan,” katanya.

Beliau turut mendakwa terdapat bekas calon Bersatu yang kembali menyertai Umno, yang menurutnya memberi gambaran mengenai keadaan parti itu di Johor ketika ini.

Untuk rekod Ahmad Daniel pernah mencabar kerusi sama pada PRN Johor 2022, namun tewas kepada penyandang BN, Hahasrin Hashim.

BACA JUGA Pas kata ya, Onn Hafiz kata tidak : AMANAH dakwa Umno u-turn