Berbaki sehari lagi, tolak politik perkauman antara mesej besar Anwar kepada pengundi Johor
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan penolakan politik perkauman sebagai antara mesej terakhir kepada pengundi Johor sebelum tibanya hari pengundian esok.
Dalam ucapan ketika Jelajah Johor di DUN Puteri Wangsa malam tadi, beliau berkata, Malaysia akan terus selamat dan hebat semula hanya sekiranya semua pihak menghentikan sentimen perkauman yang melampau.
“(Dibandingkan dengan PH), parti-parti lain main polemik apa? Kaum. Semua (dia kata) bahaya. Kemaraan orang Cina bahaya. Ini apa dia ni?
“Malaysia nak hampir 70 tahun merdeka, masih lagi tak faham yang Melayu kaum majoriti di Malaysia. Perlembagaan menjamkn hak Melayu. Tetapi negara ini juga harus menjamin keadilan semua kaum.
“Negara ini boleh selamat dan hebat, syaratnya hentikan racism perkauman melampau. (Tuduh) saya jadi alat Cina, bagitahu apa saya buat sampai nampak macam saya ini menyerah kepada Cina. Oh sebab saya kawan dengan DAP?,” katanya semalam.
Anwar berkata beliau tidak akan berkompromi dalam mempertahankan maruah setiap rakyat tanpa mengira kaum, dan menggesa masyarakat menolak politik kebencian.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap undi akan menentukan masa depan Johor, sambil menyeru pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada Sabtu ini.
BACA JUGA PN sokong BN jadi penentu kerajaan Johor? Bersatu sanggah kenyataan Hadi