‘Esok hari keramat’ – Anwar rayu anak Johor pulang mengundi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh rakyat Johor, termasuk yang berada di luar negeri, pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk lima tahun akan datang.

Dalam mesej terakhir menjelang hari pengundian, Anwar berkata PRN Johor bukan sekadar memilih kerajaan baharu, sebaliknya menjadi medan menentukan masa depan negeri serta kesejahteraan rakyat.

“Esok hari keramat yang bakal menentukan babak seterusnya dalam ceritera masa depan negeri dan rakyat Johor.

“Saya menyeru seluruh anak Johor, termasuk yang berada di perantauan supaya pulang dan menggunakan kuasa rakyat untuk memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa dan benar-benar bekerja demi negeri ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata gabungan berkenaan telah membuktikan keupayaannya mentadbir Kerajaan MADANI melalui pelaksanaan pelbagai reformasi yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, antara pencapaian yang dibawa kerajaan ialah peningkatan pelaburan, kenaikan gaji, pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta penyelesaian beberapa projek dan isu yang sekian lama tertangguh.

Beliau berkata usaha itu turut berjaya memulihkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia, sekali gus mengangkat semula imej negara di pentas dunia.

“Semangat pembaharuan dan tadbir urus inilah yang akan kita bawa untuk mengangkat Johor ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar memohon rakyat Johor memberikan mandat kepada PH untuk mentadbir negeri berasaskan prinsip amanah, tatakelola yang baik serta menjamin keadilan dan peluang yang saksama kepada semua.

Beliau turut menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai peluang kepada rakyat untuk menolak pemimpin yang mempertahankan individu yang terlibat dengan penyelewengan wang rakyat, selain menolak politik yang memainkan sentimen perkauman dan agama.

“Pilihan raya ini adalah peluang untuk menolak mereka yang mempertahankan pencuri wang rakyat, serta menolak politik yang muflis idea dan hanya bergantung kepada hasutan kebencian kaum dan agama demi meraih undi,” katanya.

Mengakhiri mesejnya, Anwar mendoakan agar Johor terus dikurniakan kepimpinan yang amanah serta mampu membuka lembaran baharu yang lebih makmur, adil dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor.

BACA JUGA Pas: Pemimpin Umno Johor jangan angkuh!