Jalan baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao dibuka, Anwar sasar perdagangan AS$30 bilion

Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama ekonomi rentas sempadan apabila membuka secara rasmi jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembukaan laluan itu melambangkan komitmen kedua-dua negara untuk mempertingkat kesalinghubungan, mempercepatkan aliran perdagangan dan memudahkan pergerakan rakyat di antara Malaysia dan Thailand.

Beliau berkata, laluan Bukit Kayu Hitam-Sadao merupakan pintu masuk perdagangan darat paling sibuk antara kedua-dua negara, justeru setiap penambahbaikan akan memberi limpahan manfaat kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah, hari ini sekali lagi saya bertemu Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul bagi menyempurnakan pembukaan jajaran jalan baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao.

“Pembukaan jajaran baharu ini mencerminkan tekad kedua-dua negara untuk memperkukuh kesalinghubungan, mempercepat aliran perdagangan dan memudah cara pergerakan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar berkata, hubungan Malaysia dan Thailand telah terjalin sejak berabad-abad lamanya apabila wilayah ini pernah digambarkan sebagai Golden Peninsula oleh ahli geografi Yunani, Ptolemy, selain dikenali sebagai Suvarnabhumi atau “bumi emas” oleh pedagang silam kerana kedudukannya sebagai pusat perdagangan serantau.

Menurutnya, sejarah panjang itu kini diteruskan melalui kerjasama strategik yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan kemakmuran bersama.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara turut bersetuju mempercepatkan pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan, selain menyelesaikan beberapa isu teknikal yang masih tertangguh.

Anwar berkata, Malaysia dan Thailand juga menegaskan komitmen untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$30 bilion menjelang 2027.

Beliau berkata, pembangunan di kawasan sempadan itu dijangka memberi kesan limpahan kepada beberapa negeri di utara Semenanjung termasuk Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan menerusi peningkatan perdagangan, pelaburan, logistik, pelancongan serta peluang pekerjaan.

“Ini adalah pendekatan Kerajaan MADANI yang memastikan setiap hubungan strategik diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat.

“Insya-Allah, Malaysia dan Thailand akan terus memperkukuh hubungan demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

BACA JUGA Rumah mampu milik jangan jadi hab politik, PH imbas pemansuhan kuota BN