Kebenaran solat Jumaat di IOI City Mall, Putrajaya sudah lama dapat perkenan Sultan Selangor
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan bahawa pelaksanaan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya telah pun mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak September 2024.
IOI Mall Putrajaya terletak di dalam kompleks beli-belah IOI City Mall, Putrajaya di daerah Sepang dan berada dalam pengawasan dan pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang di dalam Negeri Selangor.
Pengerusi MAIS Selangor, Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, kebenaran dan perkenan tersebut diberikan selepas pemeriksaan dan penelitian dibuat di lokasi tersebut yang mendapati premis tersebut mempunyai ramai kakitangan lelaki beragama Islam di samping menerima pengunjung termasuk dari kalangan lelaki beragama Islam.
Menurut beliau, kebanyakan mereka berhadapan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat memandangkan kedudukan masjid yang agak jauh daripada premis tersebut.
Masjid yang terdekat dengan premis berkenaan ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda yang terletak pada jarak lebih kurang 7.6 kilometer dan Masjid UNITEN, Kajang yang terletak pada jarak lebih kurang 7.7 kilometer.
Di samping itu kedua-dua masjid tersebut juga tidak mampu menampung jumlah ahli jemaah yang ramai ketika mendirikan solat Jumaat.
“Kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall telah diberikan bermula 6 September 2024. Kebenaran solat Jumaat tersebut telah diputuskan oleh MAIS melalui Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) setelah mendapat perkenan Sultan Selangor.
“MAIS sekali lagi menegaskan bahawa kebenaran solat Jumaat yang diberikan kepada Musolla IOI City Mall tersebut adalah bersifat sementara.
“Kebenaran tersebut akan terhenti jika masjid baharu berhampiran premis tersebut telah dibina dan mampu memenuhi keperluan jemaah termasuk pekerja di premis tersebut untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di Negeri Selangor dilaksanakan secara teratur, mematuhi kehendak hukum syarak serta selaras dengan peruntukan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam di Negeri Selangor.