MCA setuju Najib bebas? DAP desak jawapan sebelum pengundi Johor buat keputusan
DAP mencabar MCA menjelaskan pendirian parti itu sama ada menyokong gesaan Umno supaya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan penuh, ketika isu berkenaan kembali menjadi polemik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pembantu kepada Pengarah Pilihan Raya DAP, Wong Kah Woh, Ong Hui Xue berkata, MCA tidak boleh terus berdiam diri berhubung isu tersebut, lebih-lebih lagi selepas tercetus kontroversi pemasangan sepanduk “Bebaskan Najib” bersebelahan papan iklan “Maju Johor”.
Menurutnya, sehingga kini tiada seorang pun pemimpin MCA tampil menyatakan sama ada parti itu menyokong pendirian Umno berhubung usaha mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib.
“Tiada seorang pun pemimpin MCA ini yang berani menyentuh isu utama, iaitu sama ada MCA bersetuju bahawa Najib patut dibebaskan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ong berkata, pendirian Umno mengenai perkara itu sudah pun jelas apabila beberapa pemimpinnya secara terbuka menyuarakan sokongan kepada Najib.
Beliau merujuk kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang sebelum ini menyatakan rakyat “merindui” Najib, selain 104 usul yang diluluskan oleh bahagian-bahagian Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2026 yang memohon supaya bekas perdana menteri itu diberikan pengampunan penuh.
Menurutnya, sebagai rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN), MCA perlu memaklumkan kepada pengundi sama ada parti itu turut menyokong pendirian tersebut.
“MCA tidak boleh mengelak daripada persoalan sama ada mereka akan sekali lagi mengkhianati rakyat,” katanya.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International, dengan tempoh hukuman dijadualkan berakhir pada 23 Ogos 2028.
Selain itu, beliau turut disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB, yang membawa hukuman penjara 15 tahun bermula selepas tamat hukuman dalam kes SRC.
Bagaimanapun, Najib telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman dalam kes 1MDB itu.
BACA JUGA Rumah mampu milik jangan jadi hab politik, PH imbas pemansuhan kuota BN