Parti Kancil gagal cetus gelombang? Pengundi masih pilih blok besar

Kehadiran parti-parti kecil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat belum berjaya mencipta gelombang baharu apabila tumpuan pengundi kekal tertumpu kepada persaingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Antara segmen menarik daripada ringkasan laporan ILHAM Centre ialah penglibatan parti Bersama yang mengunakan logo ‘Kancil’ dan parti MUDA.

Dapatan kajian ILHAM Centre menunjukkan parti-parti kecil gagal mengubah struktur persaingan pilihan raya, malah tidak berjaya menawarkan alternatif yang benar-benar mampu menarik sokongan besar daripada pengundi.

Menurut laporan itu, kempen parti kecil termasuk pemain baharu seperti, Bersama dan MUDA tenggelam dalam persaingan dua gabungan utama sehingga sukar menarik perhatian pengundi sepanjang tempoh berkempen.

ILHAM Centre turut mendapati pengundi lebih cenderung menilai parti yang mempunyai peluang realistik membentuk kerajaan, selain memberi tumpuan kepada rekod pentadbiran, kekuatan jentera dan kredibiliti calon.

Keadaan itu menyebabkan parti-parti kecil, termasuk Bersama yang dirujuk oleh sesetengah pihak sebagai Parti Kancil, berdepan cabaran besar untuk menembusi landskap politik Johor yang masih dikuasai parti-parti utama.

Laporan berkenaan turut menunjukkan sebahagian pengundi melihat kehadiran parti kecil lebih berisiko memecahkan undi blok pembangkang berbanding mewujudkan pilihan ketiga yang benar-benar berdaya saing.

Dalam masa sama, ILHAM Centre mendapati pengundi muda yang menjadi hampir 48 peratus daripada keseluruhan pengundi lebih menilai calon berdasarkan rekod kerja, kredibiliti dan kemampuan menyelesaikan isu setempat, bukannya semata-mata tertarik kepada kemunculan parti baharu.

Kajian itu juga menyebut isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik dan pembangunan setempat kekal menjadi pertimbangan utama pengundi, sekali gus menyukarkan parti kecil membina naratif yang mampu mengatasi persaingan antara BN dan PH.

Walaupun terdapat usaha membawa pendekatan politik baharu oleh parti-parti kecil, ILHAM berpandangan faktor tersebut belum cukup untuk mencetuskan gelombang yang mampu mengubah keputusan pilihan raya.

Kajian lapangan ILHAM Centre dijalankan dari 26 Jun hingga 9 Julai melibatkan 1,250 responden di seluruh Johor menerusi kaji selidik, perbincangan kumpulan fokus dan temu bual mendalam bagi menilai kecenderungan pengundi menjelang PRN Johor.

BACA JUGA Ilham Centre : Pengundi muda boleh jadi penyelamat PH di Johor