Anwar Ibrahim: Johor perlu kerajaan sehaluan demi masa depan rakyat dan ekonomi

FOTO BERITA: Grand Finale ‘Johor Ke Depan Undi Harapan’ di Padang Awam’ Taman Pelangi Indah Puteri Wangsa, Johor Bahru, Johor. 9hb Julai 2026 (Khamis)

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyeru rakyat Johor memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Johor demi memastikan negeri itu terus membangun melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, kerajaan Persekutuan telah membuktikan komitmennya dengan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penurunan harga petrol RON95, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kemasukan pelaburan pusat data dan projek rentas sempadan bersama Thailand bagi merangsang ekonomi negara.

Beliau berkata Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi negeri paling maju, namun memerlukan kepimpinan negeri yang berani serta mampu bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan, termasuk pembinaan rumah mampu milik.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya mengutamakan integriti dan tidak akan berkompromi terhadap rasuah. Beliau membandingkan pendekatan pentadbiran semasa dengan skandal kewangan 1MDB yang menurutnya telah mengakibatkan kerugian besar kepada negara, sambil menegaskan bahawa mana-mana menteri yang didapati melakukan penyelewengan akan dihadapkan ke muka pengadilan tanpa pengecualian.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengkritik pihak yang memainkan sentimen perkauman sepanjang kempen pilihan raya. Beliau menegaskan bahawa Pakatan Harapan mengamalkan politik yang mengutamakan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, sambil menolak naratif yang cuba memecahbelahkan masyarakat.

“Saya bangga sebagai orang Melayu dan mahu martabat Melayu diperkasakan, tetapi pada masa yang sama kita mesti membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengira kaum. Orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan semuanya adalah rakyat Malaysia yang berhak mendapat layanan adil,” katanya.

Anwar berkata kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan rakyat pelbagai kaum yang bekerjasama membangunkan negara, bukannya melalui politik kebencian dan perpecahan. Pada akhir ucapannya, Anwar menggesa rakyat Johor keluar mengundi beramai-ramai dan memberikan mandat kepada calon-calon Pakatan Harapan.

Beliau turut berkongsi kejayaan kerajaan memperoleh hak pembangunan sebuah medan gas berskala besar di Uzbekistan melalui Petronas hasil rundingan kerajaan, yang menurutnya membuktikan bahawa pentadbiran bersih dan berintegriti mampu membawa manfaat besar kepada negara..

Pada akhir ucapannya, Anwar menggesa rakyat Johor keluar mengundi beramai-ramai dan memberikan mandat kepada calon-calon Pakatan Harapan.

Beliau berkata kemenangan Pakatan Harapan bukan sekadar kemenangan parti, tetapi satu langkah untuk memastikan Johor terus maju, memperkukuh ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan, menyediakan lebih banyak rumah mampu milik serta menjamin masa depan yang lebih baik untuk seluruh rakyat.

Sementara itu Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu menggesa seluruh penyokong Pakatan Harapan memanfaatkan baki tempoh berkempen untuk menghubungi keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Johor.

Beliau menyeru penyokong supaya menggunakan masa yang masih berbaki sebelum tamat tempoh berkempen untuk mengajak seramai mungkin pengundi keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan.

Mohamad turut memuji komitmen Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang disifatkannya bekerja tanpa mengenal penat demi memajukan negara. Menurut beliau, walaupun jadual Perdana Menteri padat dengan pelbagai urusan rasmi termasuk menerima kunjungan Perdana Menteri Thailand, menghadiri program di Kedah dan kembali berkempen di Johor, Anwar tetap meneruskan tanggungjawabnya untuk memperkukuh ekonomi negara.

Beliau berkata kejayaan pembangunan ekonomi hanya dapat dicapai sekiranya negara terus mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Dalam ucapannya, Mohamad turut melahirkan keyakinan bahawa Pakatan Harapan mampu memenangi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan Johor Bahru, termasuk Permas dan Kota Iskandar.

Beliau berkata kemenangan di Johor akan menjadi isyarat jelas bahawa rakyat terus memberikan keyakinan kepada kepimpinan Perdana Menteri serta kerajaan Pakatan Harapan.

Mengakhiri ucapannya, Mohamad mengajak penyokong bekerja keras sehingga saat akhir kempen bagi memastikan kemenangan calon-calon Pakatan Harapan, sambil menyifatkan kejayaan di Johor sebagai suntikan semangat kepada kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan negara.