Dzulkefly Ahmad seru pengundi N.49 Kota Iskandar keluar mengundi

FOTO BERITA: Calon N.49 Kota Iskandar Sr. Dzulkefly Ahmad membuang undi di Sekolah Kebangsaan Taman U (4), Skudai Johor Bahru Johor. 11hb Julai 2026 (Sabtu)

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.49 Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad, menyeru seluruh pengundi di kawasan itu supaya keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Beliau berkata, seawal jam 7.45 pagi beliau sudah berada di pusat mengundi bersama isteri Puan Noraini di Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 4 dan melihat kehadiran pengundi amat memberangsangkan dengan barisan panjang yang mula terbentuk sebelum proses pengundian dibuka.

Menurut beliau, situasi itu menunjukkan kesungguhan rakyat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Pengundian berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Saya menyeru semua pengundi N.49 Kota Iskandar keluar mengundi bagi memberikan mandat yang besar kepada kerajaan untuk mentadbir negeri Johor,” katanya.

Beliau turut menyasarkan kadar keluar mengundi sekurang-kurangnya 70 peratus bagi memastikan mandat yang diberikan benar-benar mencerminkan hasrat rakyat.

Dzulkefly hadir di pusat mengundi sekitar jam 7.45 pagi sebelum selesai membuang undi sebaik sahaja proses pengundian dibuka pada jam 8.00 pagi.

Sementara itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 mencecah 34.78 peratus setakat jam 12.00 tengah hari ini.

Proses pengundian yang bermula pada jam 8.00 pagi berlangsung dengan lancar di pusat-pusat mengundi di seluruh negeri.

SPR turut mengingatkan semua pengundi yang belum menunaikan tanggungjawab supaya hadir ke pusat mengundi masing-masing sebelum waktu pengundian berakhir pada jam 6.00 petang.

Orang ramai juga dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi segala arahan petugas pilihan raya bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan teratur dan lancar.
