Johor mengundi hari ini: 2.7 juta penentu, siapa bakal kuasai Nusajaya?
Johor memasuki detik penentuan apabila lebih 2.7 juta pengundi hari ini keluar mengundi bagi memilih kerajaan negeri baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Proses pengundian bermula serentak pada jam 8 pagi melibatkan 1,076 pusat mengundi dan 4,889 saluran di seluruh negeri, sekali gus menutup kempen selama 14 hari yang menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti utama untuk menguasai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pusat mengundi akan ditutup secara berperingkat bermula 11 pagi di beberapa kawasan pulau sebelum semua pusat ditutup sepenuhnya pada 6 petang. Antara lokasi yang menutup pengundian lebih awal ialah Pulau Besar (11 pagi), diikuti Pulau Aur dan Pulau Pemanggil (12 tengah hari).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggerakkan 43,036 petugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, selain menunggu penerimaan semula 24,677 kertas undi pos sebelum tamat tempoh pengundian pada jam 6 petang.
SPR menyasarkan kadar keluar mengundi sekitar 70 peratus, lebih tinggi berbanding 54.92 peratus yang direkodkan pada PRN Johor 2022. Keputusan rasmi dijangka mula diketahui seawal jam 10 malam.
Majikan turut diingatkan supaya memberi tempoh munasabah kepada pekerja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi, manakala 20,607 pengundi awal terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka telah selesai mengundi pada Selasa lalu.
Dari segi cuaca, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan pada sebelah pagi di Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai, Muar, Pontian dan Tangkak. Ribut petir pula dijangka melanda Kluang, Kota Tinggi, Segamat serta Mersing pada sebelah petang hingga malam.
PRN kali ini menyaksikan pertandingan melibatkan 172 calon. Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing bertanding di semua 56 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 33 calon, Parti Bersama Malaysia (15), MUDA (empat), Parti Orang Asli Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing satu calon, selain enam calon Bebas.
Sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 1 Jun lalu, BN menguasai 40 kerusi, diikuti PH dengan 12 kerusi, PN tiga kerusi dan MUDA satu kerusi. Keputusan malam ini bakal menentukan sama ada landskap politik Johor kekal atau berubah untuk tempoh lima tahun akan datang.
BACA JUGA Khalid Samad seru pengundi Johor tolak politik lama, sokong kerajaan bersih di Kota Iskandar