Keluar mengundi cecah 60%: PH dijangka lepasi prestasi 2022, kata Ismail Salleh
Peningkatan kadar keluar mengundi yang menghampiri 60 peratus ketika berbaki kurang dua jam sebelum pusat mengundi ditutup dilihat mampu mengubah landskap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding pilihan raya negeri 2022.
Pengerusi AMANAH Kedah yang juga Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata peratusan keluar mengundi ketika(setakat 4 petang) ini telah melepasi pencapaian PRN Johor 2022 yang merekodkan 54.9 peratus, sekali gus memberi petunjuk awal kepada perubahan corak sokongan pengundi.
“Pada PRN 2022, dengan kadar keluar mengundi sebanyak 54.9 peratus, Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi 12 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh 40 kerusi.
“Melihat kepada perkembangan semasa, saya yakin PH akan melepasi pencapaian itu dan memperoleh lebih daripada 12 kerusi,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan pola pengundian semasa, Umno dijangka masih menguasai kira-kira 20 kerusi majoriti Melayu, manakala PH dijangka kekal menguasai sekitar 10 kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Cina.
Bagaimanapun, katanya, baki 26 kerusi bercampur akan menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri, dengan kadar keluar mengundi menjadi faktor paling penting.
“Semakin tinggi peratusan keluar mengundi, walaupun terdapat faktor lain seperti Perikatan Nasional (PN), pengundi muda dan Parti Bersama Malaysia, faktor paling utama tetap jumlah pengundi yang keluar mengundi.
“Dengan kadar yang ada sekarang, saya yakin PH sudah melepasi prestasinya pada 2022. Jika peratusan keluar mengundi terus meningkat, kelebihan itu akan lebih memihak kepada PH, manakala jumlah kerusi yang dimenangi Umno pada pilihan raya lalu akan semakin berkurangan,” katanya.
Ismail berkata, sekiranya kadar keluar mengundi mencecah sekitar 70 peratus, PH berpotensi memenangi lebih 30 kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri.
“Kalau kadar keluar mengundi mencecah 70 peratus, saya melihat PH mampu memenangi lebih 30 kerusi dan muncul sebagai parti yang membentuk kerajaan negeri Johor,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi yang masih belum menunaikan tanggungjawab supaya memanfaatkan baki masa sebelum pusat mengundi ditutup.
“Masih ada masa berbaki. Keluarlah mengundi kerana undi anda akan menentukan masa depan Johor dan juga masa depan negara,” katanya.