PH akur keputusan Johor, fokus jadi pembangkang dan sedia hadapi PRU16
Pakatan Harapan (PH) mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor yang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, sambil berikrar memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan di Dewan Negeri Johor.
Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata berdasarkan pengiraan semasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), membabitkan enam kerusi dimenangi DAP, satu oleh PKR dan satu lagi oleh AMANAH.
Beliau bagaimanapun berkata keputusan itu masih tertakluk kepada pengumuman rasmi SPR.
“Suara rakyat Johor akan mendorong Pakatan Harapan untuk menjalankan tanggungjawab di Dewan Negeri Johor dengan penuh berwibawa dan berintegriti dalam menyuarakan permasalahan rakyat serta menawarkan penyelesaian kepada isu-isu asas yang masih belum diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amirudin berkata keputusan pilihan raya itu menjadi isyarat jelas bahawa PH perlu terus mendengar denyut nadi rakyat dan menjadikannya sebagai panduan dalam merangka gerak kerja politik pada masa depan.
Menurutnya, PH komited melaksanakan tanggungjawab sebagai blok pembangkang yang konstruktif dengan memantau dasar serta pentadbiran kerajaan negeri secara konsisten demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Pakatan Harapan komited untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pembangkang supaya segala dasar pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dipantau secara lebih rapat dan konsisten agar kualiti hidup rakyat dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, bukan hanya tertumpu di Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata keputusan PRN Johor turut menjadi isyarat kepada seluruh jentera PH untuk memperkukuhkan organisasi, memperkemaskan gerak kerja dan memperluaskan usaha mendekati rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan sama, Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya, anggota keselamatan, pengamal media, sukarelawan dan semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan lancar, teratur dan harmoni.