Sekolah tahfiz dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI, terima dana RM100,000
Sekolah Rendah Tahfiz Al-Quran Integrasi Al-Irshad menerima bantuan kewangan sebanyak RM100,000 menerusi Inisiatif Sekolah Angkat Malaysia MADANI selepas dipilih sebagai antara 1,500 sekolah yang menyertai program itu di seluruh negara bagi tahun ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri, Datuk Dr Roslan Hussin, pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Sekolah Angkat Malaysia MADANI di sekolah berkenaan, hari ini.
Menurut Roslan, inisiatif diperkenalkan kerajaan itu bertujuan memperkasa institusi pendidikan, khususnya sekolah agama dan tahfiz, menerusi penyediaan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan, prasarana serta kebajikan warga sekolah.
“Bantuan ini bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal yang lebih baik, malah merupakan pelaburan kerajaan dalam membangunkan modal insan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya.
Beliau berkata, bantuan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi negara dapat dirasai secara langsung oleh rakyat melalui pelaburan dalam sektor pendidikan.
Peruntukan RM100,000 itu akan digunakan bagi melaksanakan beberapa projek penambahbaikan di sekolah, termasuk membaik pulih surau, membina ruang menunggu ibu bapa, menaik taraf laman tani, menubuhkan koperasi sekolah serta projek lain yang memberi manfaat kepada murid, guru dan komuniti setempat.
Roslan turut menyeru pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat berganding bahu menjayakan projek-projek tersebut menerusi semangat gotong-royong dan kerjasama.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pihak pengurusan sekolah supaya menguruskan peruntukan yang diterima secara berintegriti, telus dan berakauntabiliti bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi impak maksimum kepada pembangunan sekolah serta kesejahteraan murid.
Inisiatif Sekolah Angkat Malaysia MADANI merupakan antara usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti kemudahan pendidikan di seluruh negara, termasuk institusi pendidikan agama dan tahfiz, melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan.
BACA JUGA Pengundi dakwa nama sudah dipotong selepas hadir mengundi, laporan polis dibuat