TH mula ingatkan bakal jemaah haji dua tahun lebih awal

 Lembaga Tabung Haji (TH) mula menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kepada lebih 60,000 bakal jemaah haji bagi musim 2027 dan 2028 sebagai langkah awal memastikan mereka lebih bersedia sebelum menerima tawaran menunaikan ibadah haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Mustakim Mohamad berkata, inisiatif yang bermula pada 1 Julai lalu itu bertujuan memberi peringatan kepada bakal jemaah supaya membuat persiapan lebih awal, termasuk dari aspek kewangan, kesihatan dan ilmu ibadah.

“Selain SMS dan e-mel, TH juga menggunakan saluran komunikasi lain seperti media massa dan media sosial bagi memastikan peringatan itu sampai kepada semua bakal jemaah musim 2027 dan 2028.

“Maklum balas yang kita terima amat menggalakkan. Ramai yang bercakap mengenainya dalam media sosial. Kita harap peringatan ini akan memberikan peluang kepada jemaah haji untuk membuat persediaan awal, seterusnya menjalankan ibadah dengan tenang serta sempurna,” katanya pada sidang media selepas Program Cilik-Cilik Dah Celik 2026.

Mustakim berkata, penghantaran peringatan itu melibatkan dua kohort bakal jemaah, iaitu mereka yang dijangka menerima tawaran menunaikan haji pada musim 2027 dan 2028.

Menurutnya, program peringatan melalui SMS dan e-mel mula diperkenalkan tahun lalu, namun kali ini dilaksanakan lebih awal dan lebih sistematik, sebaik sahaja musim haji semasa berakhir.

Beliau berkata, TH mahu mewujudkan budaya membuat persediaan awal dalam kalangan pendeposit supaya mereka tidak terbeban apabila tiba giliran mengerjakan haji.

Justeru, katanya, syarat minimum simpanan RM15,000 dalam akaun TH sebelum tawaran haji dikeluarkan kekal dikekalkan.

“Kita mahu masyarakat membudayakan amalan menabung sedikit demi sedikit. Apabila tiba giliran, mereka tidak perlu berdepan tekanan untuk menyediakan wang dalam jumlah yang besar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kursus Asas Haji bagi musim 2027 akan bermula pada 25 September depan dan terbuka kepada semua pendeposit TH serta umat Islam yang ingin mendalami ilmu berkaitan ibadah haji, bukan hanya mereka yang telah menerima tawaran.

Mengenai persiapan musim haji akan datang, Mustakim berkata TH masih menunggu pengumuman rasmi kerajaan Arab Saudi berhubung sebarang perubahan dasar atau peraturan baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata TH dimaklumkan bahawa Pakej D, iaitu pakej haji dengan kos paling rendah, tidak lagi ditawarkan.

“Setakat ini kita dimaklumkan bahawa Pakej D yang menawarkan harga paling rendah sudah tidak ada lagi. Tetapi, kita telah bersedia awal kerana kemudahan yang disediakan oleh TH kepada jemaah haji Malaysia pada tahun ini sebenarnya telah dinaik taraf kepada Pakej C walaupun harga dibayar untuk Pakej D,” katanya.

BACA JUGA Gelombang pengundi mula bergerak, 7.97% keluar mengundi dalam sejamÂ