48 kerusi bukan cek kosong bebaskan Bossku, BN diingat bezakan kepentingan parti dan negara
Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak harus diterjemah sebagai mandat untuk menggerakkan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara (AGC), Liyana Marzuki berkata, keputusan rakyat Johor perlu dihormati sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.
Namun, katanya, sebarang usaha mengaitkan kemenangan BN dengan pengampunan Najib wajar diperhalusi kerana melibatkan kepentingan awam dan imej negara.
Untuk rekod, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), meningkat berbanding 40 kerusi pada PRN 2022.
Daripada jumlah itu, Umno memperoleh 36 kerusi, MCA dan MIC masing-masing lapan dan empat kerusi.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lapan kerusi, berkurangan daripada 12 kerusi yang dimenanginya pada 2022. DAP memperoleh enam kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing memenangi satu kerusi.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi sebarang kerusi selepas memperoleh tiga kerusi pada pilihan raya lalu.
Bersatu dan Pas masing-masing gagal membuka akaun kemenangan, begitu juga Pejuang serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Parti Muda, Parti Bersama dan calon Parti Orang Asli turut gagal memenangi kerusi, selain semua calon mereka dilaporkan kehilangan deposit.
Terlalu dominan
Mengulas lanjut, Liyana berkata, beliau lebih aktif memberikan pandangan dalam PRN Johor berbanding PRN Sabah kerana bimbang kemungkinan wujud kerjasama politik yang boleh menyebabkan sesebuah parti menjadi terlalu dominan.
Beliau sebelum ini menekankan kepentingan pembentukan Kerajaan Perpaduan, khususnya selepas timbul dakwaan mengenai rundingan di belakang tabir antara Umno dan Pas yang kemudiannya diakui oleh pemimpin kedua-dua parti.
Menurut bekas Pegawai Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu, pengundi berhak mengetahui rundingan tersebut, lebih-lebih lagi selepas Rang Undang-Undang berkaitan pelantikan lima ADUN diluluskan secara tergesa-gesa sebelum pembubaran DUN.
pengendali podcast ‘Jangan Pajak Otak’ itu berpandangan pendedahan media mungkin menjadi antara faktor rundingan berkenaan tidak diteruskan.
Pada masa sama, kegagalan PN memenangi sebarang kerusi menunjukkan pengaruh politik yang sering digambarkan sebagai “gelombang hijau” tidak berjaya menembusi wilayah selatan.
“Khianat Pas terhadap Bersatu tidak menjadi dan menyebabkan Pas serta Bersatu hilang tapak di Johor.
“Ini menunjukkan gelombang hijau tidak masuk ke Selatan dan hanya kuat di negeri-negeri SG4,” katanya.
Hasrat peribadi
Dalam pada itu, Liyana turut mengulas kenyataan anak Najib yang sebelum ini mengaitkan kemenangan besar Umno dengan usaha mendapatkan pengampunan untuk bapanya.
Menurutnya, perkembangan selepas PRN Johor akan menentukan sama ada isu pembebasan Najib benar-benar merupakan pendirian rasmi parti atau sekadar hasrat peribadi keluarganya.
“Kalau tiada gerakan pengampunan Datuk Seri Najib selepas ini, kita tahu ia bukan pendirian parti, hanya hasrat anaknya.
“Namun, kalau sudah mula gerakan pembebasan Datuk Seri Najib selepas ini, kita tahu PRN Johor ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk mendapatkan laba yang lebih besar,” katanya.
Liyana menjelaskan beliau tidak menolak hak Najib untuk memohon pengampunan bagi kes SRC International selepas bekas Presiden Umno itu menjalani sekurang-kurangnya separuh daripada tempoh hukumannya.
Bagaimanapun, katanya, pendekatan berbeza perlu digunakan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang melibatkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM11 bilion.
Beliau berpendapat pengampunan terlalu awal bagi kes itu boleh mewujudkan duluan berbahaya apabila seseorang pemimpin yang disabitkan menyalahgunakan kuasa dan pecah amanah dana awam boleh dibebaskan hanya kerana desakan politik.
“Maknanya, sekiranya mana-mana Perdana Menteri dijatuhkan bersalah kerana menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dan melakukan pecah amanah dana awam hingga berbilion ringgit, dia boleh diampunkan hanya kerana desakan parti politik dan permainan di kayangan,” hujahnya.
Tambahnya, kes 1MDB mendapat perhatian dunia dan memberikan kesan besar terhadap reputasi serta prestasi Malaysia sejak 2015.
Liyana percaya terdapat pemimpin dan ahli UMNO yang turut memahami risiko berkenaan serta mampu membezakan antara kepentingan parti dengan kepentingan negara.
Beliau berpendapat Najib boleh dipertimbangkan untuk dibebaskan selepas menjalani separuh daripada hukumannya dan menyelesaikan pembayaran denda berkaitan kes 1MDB, sebagaimana beberapa pemimpin lain pernah menerima pengampunan sebelum ini.
Aktivis berkenaan menegaskan politik harus menjadi wadah untuk membina negara yang maju dan harmoni bagi semua kaum serta agama, bukan semata-mata untuk memperkukuh parti atau memenuhi kepentingan individu.
“Kalau politik hanya untuk membina parti dan kepentingan individu, lama-lama negara pun boleh ke laut.
“Kita raikan demokrasi di Johor dan hormati pilihan pengundi,” kata Liyana lagi.
BACA JUGA Undi PH naik hampir 67 peratus, lebih 600,000 rakyat Johor masih beri kepercayaan