Bangsa Johor pilih BN dan PH, PN dan Bersama pula kena ‘TKO’

Oleh NORMAN RADZUAN

Benarkah rakyat Johor menolak Pakatan Harapan (PH)? Jawapan itu tidak tepat.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, PH mendapat 367,525 undi tetapi PRN 2026 pula, jumlah hampir sekali ganda 611,983 undi.

Penambahan undi 244,458 (naik 67 peratus). Ia satu pencapaian yang baik untuk tempoh empat tahun.

Walaupun penyokong Perikatan Nasional (PN) terpaksa kerah ahli untuk undi BN, dan PH diganggu oleh Bersama, namun penambahan undian kepada PH masih tinggi.

Berbeza dengan dengan parti pembangkang di Johor yang lain:

Muda: 10,236 undi (jatuh 37,836 undi)

PN: 102,090 undi (jatuh 232,410 undi)

Bersama: 28,816 undi (Undian PH di DUN Skudai sahaja lebih daripada ini iaitu 39,821 undi)

Walaupun PH kehilangan empat kerusi, tetapi sokongan dan undian meningkat.

Kubu kuat

Sememangnya kita akui sejak dulu lagi Johor adalah kubu kuat Umno. Saya menjangkakan PH dapat menyekat dua pertiga jumlah kerusi namun jangkaan saya meleset.

Apapun tahniah kepada Umno yang mendapat mandat besar kali ini. Sedikit mengejutkan apabila ada beberapa kerusi DAP dirampas oleh MCA.

Dalam masa sama, bukan sahaja PH tetapi BN juga meningkat sekali ganda undian mereka. Ini dapat kita andaikan bahawa undi PN telah beralih kepada BN.

Tsunami Hijau sudah berakhir di selatan tanahair. Benarlah Pas tiada kekuatan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Disebabkan itu mereka menghulurkan tangan untuk berkawan bersama BN.

Faktanya, PH (2026) lebih popular (berbanding 2022). Namun tsunami Umno berjaya menarik undi Pas dan Bersatu telah membuatkan sukar untuk PH mendapatkan lebih kerusi.

Cuma saya sedikit tertanya, mengapa rakan Bersama kesemuanya mengejek PH atas keputusan semalam?

Saya tidak pernah mengulas mengenai Bersama sebelum ini dalam mana-mana penulisan tetapi terkejut apabila mereka menyerang PKR yang bukan parti mereka.

Padahal, Bersama hilang deposit di semua kawasan yang mereka bertanding. Malah, dikatakan di Kota Iskandar, Bersama tidak mendapat sebarang undi.

Pelik, adakah calon tidak mempunyai keluarga, teman-teman untuk mengundinya?

Mengapa mereka mengkritik PKR sedangkan sepatutnya mereka membuat post mortem kenapa parti Bersama hilang deposit. PKR bukan parti mereka lagi kenapa perlu disibukkan?

Apapun tahniah dan terima kasih kepada bangsa Johor yang turun mengundi hingga mencapai peratusan yang tinggi semalam.

Faktanya bangsa Johor telah memilih BN untuk menerajui kerajaan negeri dan PH sebagai pilihan kedua untuk membawa suara mereka.

Bangsa Johor menolak Pas, Bersatu dan Bersama untuk mewakili suara mereka di DUN Johor.

Cukup secara ringkas ulasan PRN kali ini sebelum saya membuat analisis berdasarkan umur, kaum dan naratif politik yang dimainkan.

BACA JUGA Anwar tidak merajuk bertanya ‘apa lagi Bangsa Johor mahu?’