PRN Johor: Isyarat jelas rakyat, suara akar umbi mesti didengari
Oleh DR SHAHNOR BASRI
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN sekali gus melepasi majoriti dua pertiga, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya mampu meraih lapan kerusi, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Malah, sejak awal lagi saya menjangkakan kemenangan besar BN berdasarkan pemerhatian di lapangan, pertemuan dengan pelbagai lapisan masyarakat serta kemampuan merasai denyut nadi pengundi Johor.
Di sebalik pelbagai isu yang dibangkitkan terhadap BN dan kerajaan negeri, saya mendapati sebahagian besar pengundi Johor masih memberikan kepercayaan kepada BN sebagai pilihan yang lebih meyakinkan untuk mentadbir negeri.
Hakikat ini menunjukkan bahawa persepsi yang dibina dalam media sosial atau kelompok penyokong sendiri tidak semestinya mencerminkan sentimen sebenar pengundi di akar umbi.
Sebaliknya, PH dilihat gagal membaca mesej rakyat. Dalam banyak keadaan, sebahagian pimpinan PH di peringkat negeri dan pusat dilihat mempamerkan sikap yang dianggap angkuh, terlalu yakin dan seolah-olah menganggap kemenangan sudah berada dalam genggaman.
Persepsi sedemikian mungkin tidak disengajakan, namun dalam politik, persepsi sering kali lebih berpengaruh daripada penjelasan.
Retorik politik
Keyakinan yang melampau bahawa Umno dan BN pasti dapat ditumbangkan akhirnya bertukar menjadi liabiliti. Pengundi Johor terkenal sebagai kelompok yang pragmatik dan sederhana.
Mereka lazimnya menilai berdasarkan prestasi, kestabilan dan keupayaan mentadbir, bukannya semata-mata retorik politik.
Apabila sesebuah parti dilihat terlalu yakin sehingga mengabaikan sentimen rakyat biasa, pengundi mempunyai cara tersendiri untuk menghantar mesej melalui peti undi.
Dalam konteks ini, PH wajar melakukan muhasabah yang mendalam. Mereka perlu kembali kepada asas perjuangan yang pernah menjadikan mereka sebuah gabungan yang diyakini rakyat.
Sosok Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sewajarnya dijadikan cermin kepimpinan.
Beliau dikenali sebagai pemimpin yang merendah diri, konsisten, mudah didekati serta sentiasa menyantuni rakyat tanpa mengira musim pilihan raya atau kedudukan politik.
Beliau tidak memerlukan retorik yang berlebihan untuk memperoleh penghormatan kerana keikhlasannya sendiri menjadi kekuatan.
Kehilangan tokoh seperti Allahyarham Salahuddin bukan sekadar kehilangan seorang pemimpin, tetapi kehilangan contoh budaya politik yang sederhana, beradab dan dekat dengan rakyat.
Sekiranya PH ingin bangkit semula, mereka perlu melahirkan lebih ramai pemimpin yang memiliki sifat seperti beliau, bukannya pemimpin yang hanya lantang ketika berkempen tetapi jauh daripada denyut nadi masyarakat.
Landskap politik
Dalam masa yang sama, landskap politik Johor sekali lagi memperlihatkan bagaimana Pas terus menggunakan pendekatan yang sama seperti dalam banyak pilihan raya sebelum ini.
Pas banyak bergantung kepada naratif Melayu dan Islam untuk mengukuhkan sokongan penyokong tradisinya.
Namun, kali ini mereka mahu pengundi Melayu menyerapi sentimen ini dengan mahukan pengundi mengundi BN.
Pendekatan tersebut terbukti berkesan dalam menyatukan sebahagian penyokong mereka dan menyahkan rakan strategi asal mereka Bersatu.
Namun, ia juga sering mengundang perdebatan kerana pengkritik berhujah bahawa ia boleh menyederhanakan isu-isu pentadbiran, ekonomi dan kebajikan kepada pertentangan identiti semata-mata.
Pengundi akhirnya perlu menilai sendiri sama ada naratif sedemikian benar-benar menjawab cabaran sebenar yang dihadapi rakyat.
PRN Johor 2026 juga memberi satu pengajaran penting kepada semua parti politik.
Pilihan raya tidak dimenangi melalui sorakan penyokong di media sosial, jumlah ceramah yang besar atau keyakinan pemimpin sendiri.
Ia dimenangi melalui kepercayaan rakyat yang dibina secara konsisten, kerendahan hati untuk mendengar, serta kesediaan berkhidmat tanpa mengira musim politik.
BN berjaya kerana mereka meyakinkan majoriti pengundi bahawa mereka masih merupakan pilihan yang mampu memberikan kestabilan kepada Johor.
Sama ada persepsi itu akan berkekalan atau tidak bergantung kepada prestasi kerajaan selepas ini. Kemenangan besar bukan lesen untuk bersikap selesa, sebaliknya amanah yang perlu dibuktikan.
Bagi PH pula, kekalahan ini tidak seharusnya dijawab dengan mencari alasan atau menyalahkan pihak lain.
Kekalahan sebesar ini menuntut keberanian untuk melihat kelemahan sendiri. Muhasabah yang jujur lebih bernilai daripada seribu alasan.
Akhirnya, rakyat Johor telah membuat pilihan mereka. Dalam sebuah demokrasi yang matang, keputusan rakyat mesti dihormati.
Tanggungjawab parti yang menang ialah mentadbir dengan amanah dan rendah hati. Pembangkang pula perlu menjadi semak dan imbang yang berkualiti, bukannya terus terperangkap dalam politik persepsi serta menafikan mesej jelas pengundi.
BACA JUGA Nga Kor Ming sedia letak jawatan jika ini yang berlaku, pertegas prinsip kehakiman tak boleh digadai