Johor bukan penamat, Negeri Sembilan panggil kita bangkit – Mahfuz

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan pengajaran untuk memperbaiki kelemahan, bukannya alasan untuk menyalahkan rakyat atau berputus asa.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan rakyat Johor mesti dihormati, manakala perjuangan politik untuk menawarkan pentadbiran bersih dan berintegriti perlu diteruskan dengan semangat yang lebih kuat.

“Johor bukan penamat. Johor adalah guru. Johor mengajar kita bahawa rakyat tidak boleh dianggap akan mengundi kita selama-lamanya.

“Keyakinan rakyat perlu dimenangi semula setiap hari, bukan hanya ketika musim pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahfuz turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam PRN Johor serta berharap kerajaan negeri yang baharu dapat menunaikan mandat rakyat dengan penuh integriti.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu berkata, kebajikan rakyat dan kepentingan Johor serta Malaysia perlu diletakkan mengatasi kepentingan politik kepartian.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang telah melaksanakan tanggungjawab demokrasi dengan menentukan hala tuju negeri menerusi peti undi.

“Walau apa pun pilihan politik, saudara dan saudari telah menentukan hala tuju negeri melalui peti undi.

“Demokrasi menjadi lebih kuat apabila rakyat terus mengambil bahagian,” ujarnya.

Rendah hati

Mahfuz turut mengingatkan calon PH yang berjaya bahawa kemenangan bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh rendah hati.

Beliau menyeru mereka supaya sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan bekerja tanpa mengenal penat.

Bagi calon PH yang tewas pula, Mahfuz berkata, kekalahan tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai pengakhiran perjalanan politik.

“Dalam politik, kekalahan adalah guru yang paling jujur. Bangkitlah dengan lebih kuat, lebih dekat dengan rakyat dan lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang,” tegasnya.

Beliau turut menghargai pengorbanan petugas, sukarelawan dan jentera PH dari Johor serta seluruh negara yang meninggalkan keluarga dan mengorbankan masa, tenaga serta wang ringgit sepanjang kempen.

Katanya, nilai sesuatu perjuangan tidak hanya diukur berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi juga melalui kesetiaan terhadap prinsip dan kesanggupan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Mahfuz berkata, keputusan PRN Johor akan diteliti dengan penuh keinsafan bagi mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki segala kekurangan.

Tegasnya, rakyat tidak boleh dipersalahkan atas keputusan yang telah dibuat.

Sebaliknya, menjadi tanggungjawab parti untuk mendapatkan semula keyakinan mereka melalui kerja yang lebih baik, dasar yang dekat dengan kehidupan rakyat dan pendekatan politik yang lebih matang.

“Johor adalah pengajaran, bukan penamat. Jangan biarkan kekecewaan semalam merampas peluang esok.

“Kita bangkit, kita belajar dan kita terus melangkah. Perjuangan ini lebih besar daripada satu kemenangan atau satu kekalahan,” ujarnya.

Perjuangan bersambung

Mengalihkan tumpuan kepada Negeri Sembilan, Mahfuz berkata, perjuangan kini perlu diteruskan dengan memperlihatkan keupayaan pejuang parti untuk bangkit selepas berdepan kekalahan.

“Negeri Sembilan memanggil. Esok perjuangan bersambung. Esok rakyat Negeri Sembilan akan melihat, adakah kita kecewa atau kita bangkit.

“Pejuang sebenar bukan diukur ketika menang, tetapi ketika kalah,” katanya.

Mahfuz menegaskan, selagi masih ada rakyat yang mengharapkan politik bersih, pentadbiran berintegriti dan masa depan Malaysia yang lebih baik, perjuangan tersebut tidak akan dihentikan.

“Kita mungkin kalah dalam satu pilihan raya, tetapi kita tidak akan kalah dalam tekad untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Tahniah kepada pemenang, hormat kepada pilihan rakyat dan istiqamah dalam perjuangan,” kata Mahfuz lagi.

Pada PRN ke-15 pada 2023, PH membentuk kerajaan negeri di Negeri Sembilan bersama BN selepas memperoleh kemenangan di 31 daripada 36 kerusi DUN.

PH memenangi 17 kerusi, BN (14) manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.

Namun, pada PRN kali ini, PH dan BN masing-masing bergerak secara berasingan

Kedua-duanya bertanding di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.

BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: DAP pertaruh 8 calon penyandang, 3 muka baru