Anwar ingatkan jangan sampai terlajak heret institusi diraja dalam kempen PRN Negeri Sembilan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan institusi diraja sebagai bahan politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sistem Raja Berperlembagaan merupakan tonggak Perlembagaan negara yang mesti dihormati dan dipelihara oleh semua pihak.

“Melantik Raja dan menurunkan Raja adalah perkara penting. Inilah satu-satunya negara pertahankan sistem beraja. Sebab itu kita kena pelihara. Jangan jadikan polemik politik jalanan. Kami akan selalu memuliakan institusi diraja dan tidak mahu kedudukan raja diheret dalam pilihan raya.

“Saya nak nasihatkan kawan-kawan saya dari parti lain jangan gunakan isu ini kerana ia tak relevan dalam pilihan raya. Bukan soal saya bimbang, tapi tugas kita mesti pertahankan sistem beraja. 

“Kalau jadikan ia polemik, ia tidak akan berkesudahan. Saya ingatkan kepada mereka yang melanggar ini, (negara) ada undang-undang. Jangan langgar,” katanya dalam Majlis Pengumuman Calon PH Negeri Sembilan malam ini.