Anwar minta DAP Melaka tangguh keputusan keluar kerajaan negeri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya DAP Melaka menangguhkan sementara keputusan mereka untuk keluar daripada kerajaan negeri.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau telah membincangkan isu itu bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Saya tadi berbincang dengan Anthony dan juga Ketua Menteri. Kalau boleh, runding dulu supaya tangguh sekejap, supaya kita boleh buat kerja dengan soal negeri.

“Perkara itu sudah saya cakap dan tanya dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan juga Ketua Menteri supaya mereka runding dahulu.

“Tangguh sekejap, supaya kita boleh buat kerja dengan kerajaan negeri sehingga pilihan raya

“Saya ingin pilihan raya dulu sebaiknya. Walaupun ada dua tiga perkara tidak bersetuju, tidak mengapa,” katanya kepada media hari ini.

Anwar berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen kerajaan ialah perkara biasa, namun perkara itu tidak seharusnya menjejaskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

PH Melaka hari ini mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta, selepas DUN Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan tujuh ADUN bukan eksekutif dilantik.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong turut mengumumkan semua wakil rakyat parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri termasuk Adly Zahari (AMANAH) melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.