‘Bangkit di Negeri Sembilan!’, Anthony Loke seru jentera bina semula momentum

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke berkata, Negeri Sembilan akan dijadikan medan untuk PH membina semula momentum selepas gagal mencapai keputusan yang diharapkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, kekalahan di Johor tidak seharusnya melemahkan semangat jentera, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk bangkit menghadapi PRN Negeri Sembilan.

“Malam ini (adalah) saat kita bina momentum semula di Negeri Sembilan. Momentum pertama kita tak berjaya di Johor. Tak ada masa untuk kita berdukacita dan rasa tewas, malam ini kita mulakan pusingan kedua di Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan ialah homeground kita. Kita mesti pastikan PH menang dan tubuhkan kerajaan negeri,” katanya dalam Majlis Pengumuman Calon PH Negeri Sembilan malam ini.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan jentera supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan membantu calon daripada semua parti komponen tanpa mengira kawasan.

“Di Negeri Sembilan, kita bukan kali pertama masuk sebagai satu pasukan. Ia telah bermula sejak 2008. DAP akan bantu rakan-rakan PKR dan AMANAH, begitu juga sebaliknya. Jentera sebagai satu pasukan cukup penting,” katanya.

Anthony turut menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar kerana rekod pentadbiran yang telah ditunjukkan sepanjang menerajui kerajaan negeri.

Beliau berkata, PH memasuki pilihan raya dengan kekuatan memiliki calon Menteri Besar yang jelas serta jentera yang bergerak sebagai satu pasukan.

Dalam pada itu, Anthony mendakwa pihak lawan dijangka memainkan sentimen perkauman serta menyalahkan DAP dalam pelbagai isu sepanjang kempen.

Beliau menyifatkan dakwaan kononnya krisis di Negeri Sembilan dipengaruhi DAP adalah tohmahan dan taktik kotor, sambil menggesa jentera PH memberi penjelasan sebenar kepada rakyat.