“Johor dah beri mesej” — DAP akui keputusan tak capai sasaran, terus fokus Negeri Sembilan
DAP mengakui keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak mencapai sasaran parti apabila hanya berjaya mempertahankan enam daripada 10 kerusi yang disandang sebelum ini.
Dalam kenyataan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) hari ini, parti itu berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat rakyat Johor dan menerima tanggungjawab untuk menilai semula kelemahan yang menyumbang kepada kehilangan empat kerusi.
“Ini bukan keputusan yang disasarkan oleh DAP. Perwakilan kami berkurang daripada 10 kerusi penyandang kepada enam.
“Sokongan yang diterima tidak cukup luas atau seimbang untuk mempertahankan empat kerusi penentu. Kami menerima tanggungjawab untuk memahami, menangani dan memperbaikinya,” menurut kenyataan itu.
DAP turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Johor atas penyertaan dalam proses demokrasi dengan kadar keluar mengundi sebanyak 69.6 peratus, selain merakamkan penghargaan kepada penyokong Pakatan Harapan (PH), khususnya 291,273 pengundi yang memberikan sokongan kepada calon-calon DAP.
Menurut CEC, meskipun kehilangan empat kerusi, jumlah undi yang diperoleh calon DAP di 10 kerusi yang ditandingi meningkat kepada 226,592 undi, berbanding 159,769 undi pada PRN Johor 2022.
“DAP masih mempunyai asas sokongan yang kukuh untuk dipertahankan, diperluaskan dan diterjemahkan kepada kemenangan pada masa akan datang,” katanya.
DAP berkata landskap politik Johor kali ini juga lebih mencabar susulan penyatuan sokongan kepada pencabar selepas tempoh panjang pertandingan pelbagai penjuru.
CEC turut memaklumkan bahawa mesyuarat khas telah diadakan bagi meneliti keputusan PRN Johor, termasuk mengenal pasti isu berkaitan dasar, politik, organisasi dan komunikasi yang memerlukan penambahbaikan.
“Setiap undi yang diterima ialah amanah. Setiap undi yang hilang ialah petanda dan isyarat. Sebuah parti politik tidak menilai dirinya sendiri. Rakyat yang menilainya,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, DAP mengumumkan tumpuan parti kini beralih kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan itu, PH akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, manakala DAP akan mempertahankan 11 kerusi, membabitkan lapan penyandang dan tiga muka baharu.
CEC berkata, kempen di Negeri Sembilan akan memberi tumpuan kepada rekod pentadbiran kerajaan negeri, pelan pembangunan, penyelesaian kepada isu rakyat serta menawarkan calon yang berwibawa.
“DAP akan mendengar dengan lebih dekat, memperkukuh khidmat kawasan dan memperbaiki cara kami berkomunikasi serta mentadbir.
“Johor telah memberi mesejnya. Kami akan belajar daripadanya. Di Negeri Sembilan, kami akan terus berjuang secara positif untuk mendapatkan mandat baharu dan meneruskan pentadbiran yang stabil, sederhana serta berkhidmat kepada semua,” katanya.
BACA JUGA PARLIMEN | Zon ekonomi sempadan, Thailand buka pintu, Malaysia dapat apa?