‘Nak tunggu nyawa melayang lagi?’ Tragedi RX-Z bukti undang-undang lebih tegas diperlukan

Tragedi yang mengorbankan empat penunggang motosikal RX-Z di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) disifatkan sebagai peringatan bahawa penguatkuasaan lebih tegas terhadap perlumbaan haram dan aksi menunggang berbahaya di jalan raya tidak boleh lagi ditangguhkan.

Bekas Penyelidik Kajian Pengangkutan Awam Negeri Terengganu, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, nahas itu membuktikan mengapa kerajaan memperkenalkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan, termasuk peruntukan baharu di bawah Seksyen 42A yang memberi kuasa lebih luas kepada pihak berkuasa untuk bertindak terhadap perlumbaan haram dan perbuatan menduga kelajuan.

Menurutnya, ketika pindaan itu dibentangkan, terdapat pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan PAS yang mempersoalkan langkah berkenaan dengan alasan hukuman lebih berat tidak menyelesaikan punca masalah.

“Namun hari ini kita dapat melihat mengapa kerajaan perlu bertindak tegas.

“Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga kemalangan berlaku, tubuh bergelimpangan dan keluarga kehilangan insan tersayang sebelum tindakan diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau terlebih dahulu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga empat mangsa yang terkorban dalam nahas di LPT, sambil menegaskan tragedi itu tidak sepatutnya dijadikan bahan politik, sebaliknya dijadikan iktibar kepada semua pengguna jalan raya.

Menurut Ikhmal, pindaan undang-undang itu bukan bertujuan menghukum komuniti permotoran, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa mengambil tindakan lebih awal sebelum sesuatu perlumbaan haram bertukar menjadi tragedi.

Katanya, pendidikan dan kempen kesedaran sememangnya penting, namun ia sahaja tidak mencukupi apabila masih ada individu yang menjadikan jalan awam sebagai litar perlumbaan dan mempertaruhkan nyawa pengguna lain.

“Peminat motosikal yang berdisiplin tidak perlu bimbang. Pindaan ini bukan memusuhi pemilik RX-Z, anak muda atau komuniti permotoran.

“Ia menyasarkan mereka yang berlumba, menguji kelajuan dan membahayakan keselamatan awam,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kritikan bahawa hukuman lebih berat akan membebankan rakyat perlu dilihat dalam konteks keselamatan awam.

Menurutnya, kos sebenar akibat perlumbaan haram bukan sekadar jumlah kompaun atau hukuman yang dikenakan, tetapi kehilangan nyawa serta kesan yang terpaksa ditanggung keluarga mangsa.

“Kos sebenar akibat perlumbaan haram dan pemanduan berbahaya bukan sekadar jumlah kompaun.

“Tetapi kos sebenarnya adalah nyawa yang melayang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan langkah kerajaan memperketat undang-undang sebagai tindakan pencegahan yang perlu dan bertanggungjawab bagi mengurangkan risiko kemalangan maut di jalan raya.

“Undang-undang yang tegas bukan bertujuan menzalimi rakyat, tetapi melindungi rakyat daripada mereka yang memperjudikan nyawa di jalan raya,” katanya.

BACA JUGA Anwar arah kerajaan ‘jaga dapur rakyat’