PARLIMEN |Jaminan PMX : PKS dan usahawan Bumiputera takkan sekadar jadi penonton

Kerajaan memberi jaminan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand tidak hanya menguntungkan pelabur besar, sebaliknya turut memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan Bumiputera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Haji Adnan Abu Hassan, pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata sehingga Jun 2026, inisiatif PowerUp 10K telah meluluskan pembiayaan RM400 juta kepada usahawan dan koperasi di Kelantan, RM287 juta di Kedah serta RM45 juta di Perlis.

Menurut beliau, kerajaan turut mencadangkan kawasan sekitar projek pembangunan seperti Rantau Panjang dibangunkan dengan premis perniagaan, warung dan restoran bagi membolehkan peniaga kecil menikmati limpahan ekonomi.

“Yang penting masyarakat di peringkat bawah dan peniaga kecil Bumiputera tidak terlepas daripada peningkatan kegiatan ekonomi,” katanya.

Anwar berkata aspek latihan keusahawanan melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), program Business Outreach serta pelbagai inisiatif TVET akan diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan usahawan tempatan.

Beliau menegaskan pembangunan ekonomi hanya akan berjaya sekiranya masyarakat setempat menjadi antara penerima manfaat utama daripada pelaksanaan projek berkenaan.

BACA JUGA Anwar arah kerajaan ‘jaga dapur rakyat’