PARLIMEN | Zon ekonomi sempadan, Thailand buka pintu, Malaysia dapat apa?
Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand dijangka menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi negara, khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung, menerusi peningkatan perdagangan rentas sempadan serta pembangunan infrastruktur strategik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata pembangunan itu merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak lagi tertumpu kepada Lembah Klang atau koridor pembangunan utama semata-mata.
Menurut beliau, kerjasama yang dipersetujui bersama Thailand akan membuka laluan perdagangan lebih luas termasuk memudahkan eksport produk Malaysia ke Laos, Kemboja dan Vietnam yang sebelum ini berdepan pelbagai sekatan kastam.
Katanya antara projek yang menjadi pemacu utama ialah Perlis Inland Port (PIP), Chuping Valley Industrial Area, Kulim Hi-Tech Park, Kedah Rubber City, pembangunan Bukit Kayu Hitam serta pembinaan Jambatan Sungai Golok di Rantau Panjang.
Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM327 juta bagi pembangunan Perlis Inland Port yang disasarkan mengendalikan kapasiti 300,000 TEU pada fasa pertama.
Anwar turut memaklumkan kerajaan sedang mengembangkan jaringan ECRL sehingga Rantau Panjang selain mencadangkan sambungan landasan kereta api ke Thailand bagi memperkukuh hubungan logistik serantau.
Beliau berkata usaha itu bukan sahaja merangsang perdagangan malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi di kawasan yang sebelum ini kurang menerima limpahan pembangunan.
BACA JUGA ‘Tok Min’ pecah rekod lagi? Negeri Sembilan raih pelaburan RM19.1 bilion tertinggi dalam sejarah